
© Waldo Jaquith
Dalam sesi percambahan minda mengenai dasar pelajaran negara pada November 2006 di England, Dato Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia, dengan bersemangat membicarakan mengenai betapa perlunya sistem persekolahan negara kita diperbaiki.
Dato Seri Hishammuddin menceritakan betapa masih terdapat sekolah yang amat daif. Ada sekolah yang tidak mempunyai bekalan elektrik dan air 24 jam. Ada sekolah yang pelajarnya tidak dapat hadir kerana terpaksa membantu menyara keluarga. Keadaan sekolah yang daif menyebabkan guru tidak mahu ditempatkan di kawasan pedalaman dan ini mengakibatkan kekurangan guru.
Saya mempunyai pengalaman dalam pengurusan sekolah di Britain. Saya dilantik oleh Pihak Berkuasa Pendidikan (Local Education Authority) di sini untuk menjadi gabernor di salah sebuah sekolah kira-kira 30 batu ke utara London. Pada masa yang sama, kerjaya saya dalam bidang pengkajian polisi memberi peluang untuk saya mengenali dua tokoh yang dihormati dalam bidang polisi awam di Britain. Dua tokoh ini ialah John Blundell, Pengarah Institut Hal Ehwal Ekonomi (Institute of Economic Affairs) dan Professor James Tooley, Pengarah Pusat Pengkajian Pendidikan E.G. West (E.G. West Centre for Education).
Pengalaman mentadbir sekolah di England dan perkenalan dengan dua tokoh ini membuatkan saya yakin bahawa cara terbaik untuk memperbaiki sistem sekolah di Malaysia ialah dengan membolehkan ibu bapa memilih dan memperkenalkan persaingan antara sekolah.
John Blundell dan James Tooley banyak menghasilkan tulisan ilmiah yang menerangkan bagaimana pilihan dan persaingan boleh memperbaiki sistem persekolahan.
Memberi pilihan bermaksud ibu bapa diberi kuasa dan kemampuan untuk memilih corak pendidikan yang paling sesuai untuk anak mereka. Jika ibu bapa mempunyai kemampuan dan wang yang cukup, maka sudah pasti mereka akan memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah yang terbaik.
Bayangkan satu sistem persekolahan yang mana ibu bapa tidak lagi terikat untuk menghantar anak anak ke sekolah yang paling hampir dengan rumah. Bayangkan sistem persekolahan yang melayan ibu bapa dan anak murid sebagai pelanggan yang perlu dihormati. Jika guru sesebuah sekolah tidak mengajar dengan baik, maka ibu bapa boleh memindahkan anak mereka ke sekolah lain. Jika sesebuah sekolah berulang kali gagal melahirkan pelajar yang cemerlang dalam UPSR atau PMR, maka ibubapa boleh mencari sekolah yang lebih cemerlang. Bukankah itu lebih baik?
Tidak ada sesiapa yang mahu bermalam di hotel yang tandasnya tidak berfungsi atau kaki tangannya kurang sopan. Kenapa pula ibu bapa dipaksa menghantar anak mereka ke sekolah yang kurang kelengkapan untuk diajar oleh guru yang tidak cemerlang?
Ramai ibu bapa tidak mampu menghantar anak mereka ke sekolah yang jauh daripada rumah. Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu membayar yuran sekolah swasta yang tinggi. Ini memaksa mereka menerima sahaja apa jua kualiti sekolah yang disediakan oleh kerajaan.
Untuk memperbaiki keadaan, kerajaan perlu menghapuskan halangan kewangan dan memastikan guru-guru bersaing memperbaiki kualiti pelajaran di sekolah.
Terdapat banyak cara untuk memperkenalkan persaingan dan menghapuskan halangan kewangan. Kami di Malaysia Think Tank London (Pusat Pengkajian Malaysia, London) mencadangkan tiga strategi. Pertama, memperkenalkan skim baucar. Kedua, menubuhkan Tabung Pendidikan Kebangsaan. Ketiga, memperkenalkan “ranking” sekolah dan menerbitkan ranking tersebut setiap enam bulan.
Skim baucar telah terbukti berjaya di pelbagai negara. Sistem ini berjaya di negara membangun dan juga negara maju.
Skim ini akan memberikan baucar dengan jumlah wang tertentu kepada pelajar yang kurang kemampuan untuk membayar kos persekolahan. Melalui sistem ini, sekolah sekolah tidak lagi mendapat pembiayaan automatik daripada kerajaan. Sebaliknya, pembiayaan diberikan secara langsung kepada pelajar. Ini membolehkan keluarga pelajar tersebut mencari sekolah terbaik untuk anak mereka dan menggunakan baucar untuk menampung kos persekolahan.
Skim baucar memberikan ibu bapa kuasa untuk memilih sekolah terbaik dan mereka tidak lagi dikongkong oleh faktor jarak sekolah dengan rumah.
Tabung Pendidikan Kebangsaan yang dicadangkan akan dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan individu dan syarikat-syarikat. Kerajaan tidak perlu memberikan wang kepada tabung ini. Individu dan syarikat yang menyumbang akan mendapat insentif yang mana dana yang mereka sumbangkan akan ditolak daripada taksiran cukai.
Tabung Pendidikan Kebangsaan boleh digunakan untuk menambah dana yang diberikan kepada keluarga miskin sekiranya nilai baucar tidak mencukupi. Dana tambahan ini boleh digunakan untuk membayar kos pengangkutan, buku, uniform dan sebagainya.
Dengan memberhentikan pembiayaan berdasarkan sekolah dan memindahkan pembiayaan terus kepada pelajar, semua sekolah secara tidak langsung akan menjadi sekolah “swasta”. Mereka perlu bersaing untuk menarik pelajar, menawarkan harga yang mampu dibayar oleh ibu bapa, menjaga kualiti perkhidmatan, dan memastikan pelanggan berpuas hati dengan mutu perkhidmatan. Jika tidak, pelanggan atau anak murid akan berpindah ke sekolah lain yang lebih baik.
Bayangkan betapa banyak wang yang boleh dijimatkan jika kerajaan pusat memberikan baucar terus kepada pelajar. Tidak ada lagi keperluan untuk menggaji birokrat di Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah. Semua wang ini boleh terus disalurkan kepada ibu bapa untuk membayar kos pengajian anak mereka.
Ranking sekolah akan membantu ibu bapa membandingkan kualiti pendidikan antara sekolah-sekolah. Ini akan membolehkan ibu bapa memilih secara rasional berdasarkan maklumat yang tepat. Ranking juga akan memastikan sekolah-sekolah bersaing untuk menjadi lebih baik.
Sekiranya kerajaan mahu bertindak lebih berani, kerajaan boleh menggalakan pertumbuhan sekolah-sekolah swasta di seluruh negara.
Rakyat Malaysia perlu berhenti menganggap sekolah swasta sebagai sekolah elit yang mahal. Terdapat ribuan sekolah swasta yang memberikan persekolahan kepada keluarga termiskin di negara-negara lain seluruh dunia. Jika ibu bapa mempunyai baucar untuk membayar yuran sekolah, tidak ada sebab mereka tidak mampu membayar yuran sekolah swasta.
Malahan, penswastaan sekolah akan membawa faedah berlipat kali ganda kepada keluarga miskin kerana dengan adanya skim baucar mereka boleh menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta yang jauh lebih baik daripada sekolah kerajaan.
John Blundell, dalam satu artikel yang diterbitkan pada bulan Oktober 2006, menyatakan bahawa cara terbaik untuk memperbaiki sistem persekolahan ialah dengan menjadikan sekolah sebagai sebuah perniagaan dan guru-guru sebagai usahawan.
Professor James Tooley telah menjalankan kajian antarabangsa yang ekstensif mengenai sistem persekolahan untuk keluarga miskin. Dalam buku beliau “Industri Pendidikan Antarabangsa (Global Education Industry)” beliau menganalisis pengalaman Argentina, Brazil, Colombia, India, Indonesia, Peru, Romania, Russia, Afrika Selatan, Zimbabwe dan banyak lagi. Beliau mendapati bahawa industri sekolah swasta amat meluas di kalangan keluarga miskin di negara-negara tersebut. Sekolah-sekolah ini bersaing untuk mendapatkan pelajar dan ibubapa bebas memilih sekolah untuk anak mereka.
Realitinya, jika ibu bapa mempunyai wang, mereka hampir pasti akan menghantar anak anak ke sekolah yang lebih baik, sama ada swasta atau tidak
Pilihan dan persaingan telah terbukti berjaya di negara-negara lain. Ia akan turut berjaya di negara kita. Tidak ada sebab untuk ibubapa di Malaysia terus dinafikan hak untuk membuat pilihan. Tidak ada sebab juga kenapa sekolah yang gagal terus diberi subsidi untuk beroperasi.
Sekarang telah tiba masanya untuk memperbaiki sistem persekolahan dengan cara memberi kuasa kepada ibu bapa. Pilihan dan persaingan adalah cara terbaik untuk mencapai matlamat tersebut.
Dalam Bab Enam laporan Model Ekonomi Baru (MEB) yang dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), dengan terang dinyatakan bahawa MPEN tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan gaji minimum kerana ia boleh mengurangkan peluang pekerjaan di Malaysia.
Keynesianisme percaya bahwa ekonomi didorong oleh permintaan. Jika permintaan sektor swasta tidak cukup, mereka percaya bahwa permintaan itu mesti ditambah dengan permintaan pemerintah agar semua orang bisa bekerja (full employment). Kunci untuk menumbangkan Keynesianisme—jika kita harus menumbangkannya—adalah dengan berpegang pada teori ini.
Saya masih ingat sekitar tahun 2007, ketika membantu Open Dialogue Center (ODC) menggerakkan beberapa siri program pendidikan ekonomi. Salah satu program dianjurkan bersama Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI), sebuah badan intelektual yang dianggotai ramai cendekiawan muslim, khususnya para pendokong agenda islamisasi ilmu pengetahuan. Sebagaimana selalu didengar, ramai cendekiawan muslim cuba mempopularkan istilah ‘ekonomi Islam’ dan [...]
AkademiMerdeka.org ialah satu projek pendidikan ide-ide libertarianisme dalam Bahasa yang dijalankan oleh Atlas Global Initiative for Free Trade, Peace and Prosperity.
© 2012 AkademiMerdeka.org