14/07/2008

Cabaran Pendemokrasian

Usaha memperkenal, memperkukuh dan mempertahan demokrasi bukanlah satu perkara mudah. Seperti banyak perkara lain dalam kehidupan seharian, terdapat halangan dan rintangan yang perlu ditempuhi. Tetapi semua halangan itu sebenarnya boleh diatasi jika kita belajar daripada pengalamn negara-negara yang telah berjaya menjatuhkan kediktatoran dan kini mengamalkan demokrasi. Artikel ini membincangkan beberapa cabaran utama yang pernah dihadapi dalam usaha pendemokrasian dan bagaimana untuk mengatasi cabaran-cabaran tersebut.

Cabaran Pengharapan

Sekiranya rakyat menaruh harapan yang terlalu tinggi kerana mereka menjangka bahawa demokrasi akan secara automatis membawa kemakmuran, kesihatan yang lebih baik, pendidikan yang lebih sempuran, dan lain-lain kesenangan hidup, maka rakyat boleh menjadi kecewa. Demokrasi bukan silap mata. Wujudnya demokrasi tidak menjamin kesenangan, kesihatan atau kegembiraan serta merta. Demokrasi hanya menjamin hak untuk mencari kesejahteraan (the right to the pursuit of happiness).

Demokrasi tidak menjamin tercapainya kesejahteraan. Sebaliknya , kesejahteraan hanya boleh dicapai melalui usaha dalam sebuah pemerintahan yang berdasarkan keluruhan undang-undang dan keadilan. Hanya dalam situasi sedemikian sahaja ganjaran daripada titik peluh seseorang itu akan dilindungi olehundang-undang dan tidak dirampas oleh penindasan pihak berkuasa.

Sekiranya pengharapan rakyat terlalu rendah pula, maka rakyat akan menerima sahaja proses yang secara superfisialnya kelihatan demokratik tetapi tidak bermakna dari segi hakiki. Pengharapan yang terlalu rendah menyebabkan rakyat menerima sahaja pilihanraya yang tidak adil, sikap pegawai kerajaan yang menyalahi undang-undang dan tidak adil, dan tindakan ganas pihak polis. Demokrasi hanya akan berjaya jika rakyat menuntut dan memastikan bahawa para hakim, ahli politik, wakil rakyat, ahli parlimen, menteri, dan polis semuanya tidak membelakangkan undang-undang.

Pengharapan yang realistik merupakan ramuan amat penting demi memastikan demokrasi subur dan stabil. Jika rakyat mengharapkan demokrasi membawa satu penyelesaian ajaib, maka mereka akan kecewa. Tetapi, jika rakyat tidak mengharapkan keadilan daripada pemerintah dan pilihanraya yang adil, maka mereka tidak akan dapat menikmati faedah demokrasi.

Cabaran Maruah

Masyarakat perlu meyakini bahawa menerima kekalahan dalam pilihanraya yang adil adalah lebih bermaruah berbanding mengangkat senjata membantah keputusan tersebut. Dalam beberapa negara yang baru memperkenalkan demokrasi, sesetengah golongan sukar untuk menerima hakikat bahawa mereka telah kalah dalam pilihanraya yang adil. Mungkin sukar bagi mereka mengakui hakikat bahawa menerima keputusan yang dibuat melalui cara berperlembagaan adalah lebih bermaruah. Status sebagai pembangkang yang setia sebenarnya adalah status yang mulia. Malahan, pembangkang yang setia mungkin sahaja satu hari nanti akan membentuk kerajaan, dan kerajaan pula terpaksa menjadi pembangkang yang setia.

Demokrasi akan menjadi bermaruah apabila kita menerima hakikat bahawa kalah pilihanraya tidak bermaksud kalah segala-galanya. Demokrasi berperlembagaan melindungi nyawa, kebebasan, dan harta rakyat. Ia juga membolehkan pembangkang yang setia pada hari ini membentuk kerajaan pada masa hadapan.

Cabaran Pluralisme Kepelbagaian

Demokrasi yang disandarkan kepada teori bahawa ada pihak yang boleh bercakap mewakili ‘suara negara’, maka demokrasi itu hampir pasti akan gagal. Sebuah negara dibentuk oleh individu, keluarga, pelbagai kaum dan agama, serta bandar-bandar dan kampung-kampung. Sebuah negara tidak sama dengan seorang individu yang boleh memutuskan secara total sikap dia terhadap sesuatu perkara. Rakyat dalam negara tersebut berpegang dengan pelbagai pandangan dan tidak semuanya selari antara satu sama lain. Sekiranya sebuah negara demokratik cuba memaksa kesamaan, maka negara tersebut dengan sendirinya akan bergolak, berpecah malahan mungkin berlaku pertumpahan darah.

Maka sudah semestinya pendemokrasian mengambil kira hal ini. Isu-isu yang boleh ditentukan melalui demokrasi mestilah dihadkan jika kita mahu mengelakkan pergolakan. Dalam negara demokratik yang stabil, banyak perkara tidak diputuskan melalui demokrasi atau pilihanraya, tetapi dikhaskan sebagai hak individu atau kumpulan untuk memilih. Biasanya hak untuk memilih ini ditetapkan oleh perlembagaan.

Kebebasan yang dilindungi oleh perlembagaan adalah amat penting dalam negara-negara yang mempunyai golongan ‘minoriti tetap’ seperti golongan etnik atau agama minoriti. Jika kumpulan minoriti ini merasakan bahawa mereka tidak akan boleh menjadi majoriti untuk memenangi pilihanraya, dan jika hak asasi mereka akan diganggu tatkala mereka terus menjadi minoriti, maka mereka mungkin sahaja akan bangun menentang. Maka berlakulah pergolakan. Kebebasan beragama, kebebasan untuk memilih sama ada mahu menutup rambut atau tidak, kebebasan untuk menggunakan bahasa ibunda, dan kebebasan berkumpul tanpa diancam penjara atau dikasari, semua ini mesti dilindungi oleh Perlembagaan yang demokratik dan tidak diubah oleh perubahan keputusan majoriti.

Tidak wujud satu ‘suara negara’. Apa yang ada dalam demokrasi ialah kepelbagaian kehendak dan pluralisme pandangan. Kita mesti berhati-hati apabila ada ahli politik yang mendakwa mereka mewakili suara ‘semua rakyat’ atau mendakwa pandangan mereka sahajalah yang sahih. Jika sekalipun seseorang mahu bercakapmengenai ‘suara negara’, maka ia mestilah merujuk kepada Perlembagaan dan bukan panangan seseorang pemimpin atau polisi. Keluhuran Perlembagaan sahaja yang menjadi ukuran kesatuan negara.

—–
Dr Tom G Palmer ialah Pengarah Atlas Global Initiative

Tag , .

Kenali AkademiMerdeka.org

AkademiMerdeka.org ialah satu projek pendidikan ide-ide libertarianisme dalam Bahasa yang dijalankan oleh Atlas Global Initiative for Free Trade, Peace and Prosperity.

Langgan feed RSS

Ikuti melalui Twitter

Sertai kami di Facebook

Kenali kami sepenuhnya »

© 2010 AkademiMerdeka.org