29/10/2008

Indonesia boleh menghalang pandemik flu burung

Oleh: Susan Crowley

Menteri-menteri kesihatan sedunia bersidang pada 24-26 Oktober 2008 di Mesir untuk membincangkan bagaimana menangani flu burung (bird flu). Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan bahawa ancaman pandemik global flu burung semakin tinggi dan vaksin untuk penyakit ini diperlukan segera. Biasanya penghasilan vaksin dihadkan oleh keupayaan teknologi. Tetapi kali ini penghalang utama penghasilan vaksin flu burung ialah permainan politik pemerintah Indonesia yang tidak mahu berkongsi bahan yang boleh membantu vaksin tersebut dihasilkan.

Pandemik influenza pada tahun 1918-1919 telah membunuh antara 20 hingga 40 juta manusia seluruh dunia. Ini lebih tinggi daripada Perang Dunia Pertama. Tetapi Bank Dunia menganggarkan bahawa jika berlaku satu pandemik baru, sekitar 71 juta orang boleh terkorban dan kosnya boleh mencecah USD$3trilion. Jelas sekali para penyelidik perlu membuat kajian segera untuk menghalang pandemik baru.

Indonesia amat penting dalam hal ini. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengatakan bahawa sekurang-kurangnya 53 jenis virus flu burung H5N1 telah ditemui di Indonesia. Maksudnya, terdapat kebarangkalian tinggi bahawa jika berlaku satu pandemik baru, maka tempat asalnya mungkin Indonesia. Oleh itu syarikat-syarikat global pembuat vaksin mahu mendapatkan sampel virus-virus ini kerana ia diperlukan untuk menghasilkan vaksin yang boleh menyelamatkan jutaan nyawa.

Pemerintah Indonesia tahu keinginan syarikat-syarikat ini dan boleh menghidu satu peluang besar. Dalam perbincangan di WHO, menteri kesihatan Indonesia Siti Fadilah Supari bertegas bahawa sebelum Indonesia membenarkan syarikat-syarikat global tersebut mendapatkan sampel virus yang mereka kehendaki, mereka perlu berjanji akan mensubsidi kapasiti pengeluaran di Indonesia, menjamin simpanan stok untuk warga Indonesia, membayar royalti yang agak tinggi kepada pemerintah Indonesia dan memindahkan teknologi pembuatan terkini kepada pengeluar Indonesia.

Mungkin aktivis anti-korporat akan memuji tuntutan beliau. Tetapi semua orang lain perlu merasa amat risau. Pemerintah Indonesia mungkin mahu memastikan ada vaksin yang cukup untuk rakyat Indonesia sekiranya berlaku pandemik. Tetapi sebenarnya vaksin yang dicipta sekarang mungkin tidak boleh melawan virus penyebab pandemik masa akan datang. Penjaminan simpanan stok vaksin sekarang untuk rakyat Indonesia tidak akan membawa faedah.

Koordinator influenza di PBB, David Nabarro, mengatakan bahawa fokus sekarang banyak diberikan kepada virus H5N1. Tetapi mana-mana jenis virus influenza boleh menyebabkan berlakunya pandemik. Maka amat penting untuk sektor swasta melakukan kajian menyeluruh besar-besaran sebelum berlaku sebarang wabak.

Tetapi penyelidikan vaksin merupakan bidang yang berisiko dan kadar kegagalannya amat tinggi. Sekalipun jika ada syarikat yang boleh memperolehi sampel virus tersebut, vaksin yang boleh digunapakai akan mengambil masa bertahun-tahun untuk dihasilkan. Sebelum sesuatu ubat boleh ditawarkan di pasaran, peraturan yang ditetapkan oleh badan penguatkuasa seperti Agensi Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat menuntut supaya ia melalui sekurang-kurangnya empat fasa percubaan. Biasanya tidak sampai satu daripada setiap seribu molekul yang dihasilkan berjaya melepasi fasa tapisan pre-klinikal pertama. Kebarangkalian sesuatu ubat melepasi semua proses pengiktirafan adalah tidak sampai 0.03% sahaja. Kosnya pula amat tinggi iaitu purata USD$1bilion untuk membawa sesuatu vaksin ke pasaran. Ini merupakan satu kos yang terlalu besar mahupun untuk syarikat gergasi.

Satu lagi isu dalam pengawalan pandemik ialah keperluan menghasilkan kuantiti yang banyak dalam jangka masa yang singkat. Jika kaedah pengeluaran tradisi menggunakan telur digunapakai, maka biasanya ia akan mengambil masa berbulan-bulan. Ini tidak cukup pantas. Maka jutaan dolar lagi harus dibelanjakan untuk mengkaji teknologi baru berasaskan sel (cell-based) untuk mencipta proses pembuatan vaksin yang lebih pantas.

Jika pemerintah Indonesia terus menuntut agar syarikat-syarikat swasta menghadiahkan terlalu banyak harta intelektual dan teknologi sebagai balasan untuk mendapatkan sampel virus yang diperlukan, syarikat-syarikat ini akan terhalang daripada meneruskan kajian untuk menghasilkan vaksin flu burung. Tanpa vaksin yang berkesan, kebarangkalian berlakunya pandemik seperti tahun 1918 turut meningkat.

Indonesia mungkin telah bergerak terlalu laju dalam kempen mereka. Dalam Sidang Kemuncak Kesihatan Dunia pada bulan Mei lalu, ahli-ahli WHO telah memperakui banyak tuntutan Indonesia teruatamanya mengenai pemindahan teknologi sebagai balasan perkongsian sampel virus. Tuntutan sebegini hanya mempertingkatkan risiko pelaburan dalam pengkajian vaksin flu burung. Tanpa pelaburan daripada sektor swasta, mungkin vaksin tersebut tidak akan dihasilkan langsung kerana kebanyakan ubat-ubatan yang ada di dunia sekarang adalah hasil ciptaan sektor swasta.

WHO akan membincangkan isu ini sekali lagi di Geneva pada bulan Disember ini. Menteri Kesihatan Indonesia pula sejak awal-awal lagi mengatakan bahawa beliau akan mendapatkan sokongan dunia terhadap tuntutan beliau.

Kartono Mohamad, bekas pemimpin persatuan doktor-doktor Indonesia, mengatakan bahawa “Beliau (Menteri Kesihatan Indonesia) bukan sahaja bertaruh dengan virus-virus itu, tetapi turut memperjudikan kesihatan dan keselamatan warga Indonesia.”

Perjudian itu akan merugikan bukan sahaja syarikat-syarikat pengeluar vaksin tetapi juga negara Indonesia. Malahan, yang akan lebih rugi ialah manusia seluruh dunia yang tidak akan memperolehi vaksin yang diperlukan untuk melawan pandemik flu burung.

——

Susan Crowley, penulis tamu di www.AkademiMerdeka.org, merupakan penasihat hubungan antara sektor swasta dan badan-badan antarabangsa dan juga pensyarah jemputan di Fakulti Kesihatan Awam, Universiti Yale, Amerika Syarikat.

Kenali AkademiMerdeka.org

AkademiMerdeka.org ialah satu projek pendidikan ide-ide libertarianisme dalam Bahasa yang dijalankan oleh Atlas Global Initiative for Free Trade, Peace and Prosperity.

Langgan feed RSS

Ikuti melalui Twitter

Sertai kami di Facebook

Kenali kami sepenuhnya »

© 2012 AkademiMerdeka.org