Saya amat tertarik dengan idea yang disuarakan oleh YB Datuk Nur Jazlan baru-baru ini.
Dalam satu laporan Utusan Malaysia bertarikh 25 November 2009, Datuk Nur Jazlan mencadangkan agar UMNO melibatkan ahli dalam memilih calon pilihan raya bagi memastikan individu yang dipilih tidak ditolak pengundi.
Menurut Ahli Parlimen Pulai itu lagi, menerusi kaedah itu pucuk pimpinan BN akan mengetahui siapa calon yang dikehendaki masyarakat sekali gus memastikan kemenangan parti pada setiap kali pilihan raya diadakan.
Kata Datuk Nur Jazlan, kaedah itu adalah “cara paling berkesan kerana ahli di peringkat akar umbi sebenarnya mengetahui siapa yang paling layak untuk menjadi wakil rakyat di kawasan mereka.”
Datuk Nur Jazlan ada menulis satu artikel lain yang mengatakan bahawa Umno dan BN perlu menyedari bahawa kekalahan dalam beberapa pilihan raya kecil sepanjang tahun lalu dan tahun ini adalah disebabkan faktor calon yang tidak diterima masyarakat tempatan.
Maka sebab itulah beliau mahukan hak untuk memilih calon pilihan raya sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil dikembalikan kepada ahli di peringkat akar umbi, dan pucuk pimpinan harus menerimanya.
Saya amat menyetujui pandangan Datuk Nur Jazlan. Mungkin ada yang menuduh saya berat sebelah kerana Datuk Nur Jazlan adalah salah seorang ahli lembaga penasihat kami. Bukan itu sebabnya.
Pandangan beliau memang amat baik sekali. Malahan saranan itu perlu diberi perhatian oleh semua parti politik di negara kita, bukan UMNO sahaja.
Semasa saya bertanding dalam pilihanraya 2007 di England sebagai calon parti Konservatif, pemilihan saya sebagai calon adalah hak mutlak parti di peringkat Kawasan. Ibu pejabat hanya memainkan peranan kecil sahaja.
Saya juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Parti Konservatif Kawasan Luton Utara, sebuah kawasan parlimen di utara kota London. Semasa memegang jawatan itu, saya terlibat dalam panel pemilihan calon untuk kerusi parlimen kami.
Sesiapa sahaja boleh memohon untuk menjadi calon, asalkan dia telah menjadi ahli parti selama lebih tiga bulan.
Ibu pejabat parti menyediakan satu borang khas yang perlu diisi oleh mereka yang berminat. Pemohon dikehendaki memberikan maklumat mengenai pengalaman bekerja di dalam dan luar parti. Ada juga soalan-soalan yang berkaitan dengan kebolehan dan ketrampilan calon berkenaan.
Borang itu perlu diserahkan ke ibu pejabat parti dengan surat sokongan. Ibu pejabat akan memproses permohonan, dan kemudian akan menemuduga mereka yang berkelayakan.
Hasil daripada proses saringan awal ini, biasanya akan ada sekitar 600 ke 700 calon-calon yang layak bertanding di semua 646 kerusi parlimen Britain.
Ibu pejabat parti akan menyimpan data semua calon yang telah disaring peringkat pertama ini. Apabila ada kekosongan kerusi parlimen, maka semua calon yang belum mempunyai kerusi akan dihubungi oleh ibu pejabat.
Jika mereka berminat dengan kerusi yang kosong itu, maka mereka perlu menghantar permohonan mereka terus kepada Kawasan yang berkenaan. Proses pemilihan kini berpindah sepenuhnya kepada Kawasan, tanpa campur tangan ibu pejabat.
Semasa saya menjadi salah seorang panel pemilih, kami menerima sekitar empat puluh permohonan. Kami kemudiannya menyaring permohonan kepada dua belas orang.
Kemudian kami mengadakan temuduga dengan semua dua belas orang calon-calon itu. Daripada dua belas orang, kami menyenarai pendekkan kepada lima orang sahaja.
Seterusnya, semua lima calon tersebut dijemput ke pemilihan akhir. Kali ini semua ahli Kawasan dijemput untuk menemuduga calon-calon.
Seorang demi seorang calon dipanggil untuk berhadapan dengan soalan-soalan daripada ahli Kawasan. Saya masih ingat lagi betapa dewan yang kami sewa penuh sesak dengan ahli-ahli parti yang mahu mengambil bahagian.
Untuk memastikan proses soal jawab adalah adil, maka ada sembilan soalan yang ditanya kepada semua calon. Ini memastikan mereka menjawab sembilan soalan yang sama pada peringkat awal.
Tetapi selepas itu semua ahli parti yang hadir boleh bertanya apa-apa soalan yang mereka mahu.
Akhirnya, calon diundi secara terbuka oleh ahli-ahli yang hadir ke majlis pemilihan.
Kesan daripada proses yang terbuka dan inklusif ini amat positif sekali. Ahli-ahli parti merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada “pasukan” yang memilih calon.
Ahli-ahli mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi untuk membantu dalam kempen pilihanraya rumah ke rumah. Calon itu adalah calon “kita” dan semua ahli mesti turun padang memastikan beliau menang.
Hasilnya, proses kempen berjalan lancar dengan bantuan daripada ahli-ahli setiap peringkat. Mereka membantu calon yang mereka sendiri pilih, bukan calon payung terjun lantikan ibu pejabat.
Ahli-ahli juga tahu bahawa pemilihan adalah adil dan telus. Mereka sendiri yang membuat pilihan berdasarkan realiti setempat. Tidak ada lagi kemungkinan salah guna kuasa orang atasan parti.
Jika sistem sebegini kita amalkan di Malaysia, calon-calon yang terpilih akan sedar bahawa mereka mesti berkhidmat untuk ahli parti. Mereka tidak boleh berlagak sombong setelah terpilih.
Mereka juga tidak boleh hanya mengampu pemimpin atasan sahaja kerana orang atasan tiada kuasa memastikan mereka terus terpilih sebagai calon.
Jika calon-calon ini berlagak sombong dan mengenepikan pandangan ahli parti, maka mereka tidak perlu dipilih lagi pada pilihanraya yang akan datang.
Sistem ini akan mengembalikan kuasa kepada rakyat dan ahli peringkat bawahan. Barulah ada faedah menjadi ahli sesebuah parti. Kita tidak menjadi orang suruhan semata-mata, tetapi kuasa ada di tangan kita.
Sistem ini juga boleh menghapuskan politik wang kerana hampir mustahil untuk menyogok ahli-ahli dalam proses pemilihan yang sebegitu terbuka. Jika salah sogok, silap-silap akan ditanya di khalayak ramai!
Saya harap cadangan Datuk Nur Jazlan akan diberi perhatian yang sewajarnya oleh UMNO, dan juga semua parti politik lain di Malaysia. Jika kita mahu berubah, maka idea-idea bernas sebegini perlu diperhalusi.
AkademiMerdeka.org ialah satu projek pendidikan ide-ide libertarianisme dalam Bahasa yang dijalankan oleh Atlas Global Initiative for Free Trade, Peace and Prosperity.
© 2010 AkademiMerdeka.org