Ramai telah bersuara dan menyatakan kesal akan pencapaian Sidang Kemuncak di Copenhagen (COP-15) yang disifatkan sebagai tidak mencapai sesuatu yang konkrit. Tiada perjanjian dimeterai dan 15 ribu perwakilan daripada 192 negara di dunia balik ke negara asal masing-masing.
Antara isi perjanjian yang diharapkan ialah (i) pemindahan teknologi (ii) biaya kewangan dan (iii) pelepasan karbon.
Namun, ia tidaklah dianggap kegagalan penuh memandangkan tahun hadapan (2010) akan berlangsung satu lagi persidangan lanjutan bagi membolehkan rundingan terus berjalan dan kesepakatan dunia akan dapat dicapai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menyifatkan jumlah kehadiran pemimpin yang ramai adalah satu tanda positif ke arah komitmen yang diharapkan nanti.
Malaysia sendiri mahu mengguna-pakai petunjuk 40% pelepasan karbon menjelang 2020, tahun di mana kita mensasarkan kedudukan negara beralih menjadi negara maju.
Yang menarik untuk saya ialah apabila Najib membangkitkan isu perlindungan perdagangan yang menumpang nama di sebalik usaha menangani perubahan iklim.
Bukan saja itu, syarat kawal-selia sebagai cagaran kepada biaya besar yang dituntut dibantah oleh China kerana ia berpotensi mengganggu-gugat kedaulatan negara atas nama timbal balik biaya negara maju.
Oh, tidak mudah rupanya untuk menyelesaikan masalah alam sekitar. Hujah bahawa alam ini milik bersama, meskipun diakui semua, tidak cukup untuk dijadikan landasan membina konsensus.
Dalam konteks kepimpinan, ia melibatkan komitmen ‘menang-menang’.
Sepanjang ‘musim hangat’ isu perubahan iklim ini dibincangkan, saya dan rakan-rakan di Malaysia Think Tank (WauBebas.Org) berdepan dengan pelbagai ungkapan sinis seolah-olah kami tidak mempedulikan langsung nasib alam sekitar.
Jika diperhatikan, tulisan-tulisan saya sedikit sebanyak cuba membawa sisi lain daripada pandangan stereotaip pendokong alam sekitar yang asasnya bermula dengan “bumi ini milik bersama, maka sama-sama menjaganya”.
Asas pandangan tersebut tidak salah, cuma kata “sama-sama menjaganya” itu boleh saja pelbagai dan di sanalah saya cuba membincangkan masalah yang ada.
Ada satu berita belum dimuatkan dan saya fikir penting untuk ditulis di sini sebagai sebahagian rekod untuk rujukan lanjut pada masa akan datang. Sudah tentu saya tidak maksudkan hanya berita ini belum dimuatkan.
Ianya kisah James Hansen yang sejak mula beranggapan lebih baik COP-15 ini gagal.
James Hansen ialah Pengarah Institut Goddard untuk Kajian Angkasa Lepas milik NASA. Beliau antara pakar kajian perubahan iklim dan antara yang terawal memberi keterangan ancaman pemanasan global di Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat pada tahun 1988.
Sejak itu, beliau fokus dalam memberikan pandangan dasar kepada ramai ahli politik agar mereka benar-benar memahami isu berbanding menonjolkan diri seolah-olah mereka telah berbuat sesuatu.
Hansen mengatakan kaedah yang dicadangkan dalam COP-15 secara asasnya pincang dan beliau menolak skim perdagangan karbon yang membenarkan karbon dijual beli serta dipindahkan.
Rob Wainright, Pengarah Europol dalam satu laporan berita di FOXnews.com memaklumkan skim perdagangan karbon adalah satu jenayah terancang di Eropah di mana 7.4 bilion dolar jumlah cukai wang rakyat hilang dalam tempoh 18 bulan!
Ia mencabar kewibawaan Sistem Pembebasan Perdagangan Kesatuan Eropah yang wujud pada 2005 dengan memberikan insentif kepada negara Eropah yang patuh kepada Protokol Kyoto.
Berkaitan pemindahan teknologi, apa yang terbaik boleh dilakukan dalam konteks dasar ialah, selaras dengan ungkapan Najib, iaitu kita mengurangkan halangan kepada pengenalan teknologi luar ke dalam negara di samping galakan kepada jurutera dalam negara khususnya mahasiswa untuk berterusan meneroka penemuan baru.
Selain daripada itu, program penyelidikan dan pembangunan harus beralih daripada bersifat naungan kepada galakan seperti pengenalan sistem hadiah dan insentif. Saya percaya ini lebih menggalakkan bakat berbanding kecaman politik yang mungkin turut serta dalam sistem naungan.
Apa juga hasil COP-15, kita tidak harus menganggap ia sebagai titik akhir kerana setiap hari kita tetap akan berhubung dengan alam sekitar. Tidak sukar untuk memberi sumbangan misalnya mengurangkan kadar penggunaan tenaga yang antara lain menyumbang kepada peningkatan karbon seperti membiarkan pendingin hawa terbuka walaupun tidak diperlukan dan sebagainya.
Ia tidak sukar. Memang jika anda seorang yang melakukannya kesannya akan menjadi sedikit. Tetapi bayangkan jutaan manusia melakukan hal yang mudah ini?
Saya katakan ia jauh lebih berkesan dan mudah berbanding mengeluar biaya membuat Persidangan Kemuncak yang tidak berhasil walhal peruntukan tersebut boleh dijana bagi menggalakkan pelbagai teknologi baru yang mesra alam.
——
Artikel ini telah disiarkan dalam MStar pada 30 Disember 2009
AkademiMerdeka.org ialah satu projek pendidikan ide-ide libertarianisme dalam Bahasa yang dijalankan oleh Atlas Global Initiative for Free Trade, Peace and Prosperity.
© 2012 AkademiMerdeka.org