12/02/2010

Sebuah Orde Dunia yang Hijau

Semua pihak menyalahkan pihak lain atas kegagalan Persidangan Iklim di Copenhagen, tetapi Perdana Menteri Britain Gordon Brown menyalahkan sesuatu yang berbeza sama sekali. Menurut Brown, kegagalan Copenhagen ialah disebabkan: “..Tiadanya sebuah institusi global dengan mandat memantau pemuliharaan untuk alam sekitar”. Idea dikongsi oleh banyak negara Eropah dan beberapa negara-negara membangun.

September lalu, Canselor Jerman Angela Merkel dan Presiden Perancis Nicolas Sarkozy menulis surat kepada Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon mengatakan: “Kita harus memanfaatkan momentum yang dihasilkan di Copenhagen untuk membuat kemajuan lebih lanjut menuju pembentukan Pertubuhan Alam Sekitar Dunia (WEO).”

Namun ‘momentum’ itu sebenarnya terhenti di Copenhagen kerana tidak semua negara memiliki keutamaan yang sama. Sukar bagi negara-negara yang dibelenggu kemiskinan mempedulikan ‘leteran Hijau’ daripada Eropah. Sebelum mencadangkan sebuah lagi badan birokrasi antarabangsa, para penyokong WEO harus melihat prestasi badan-badan antarabangsa yang sedia wujud saat ini dan menyedari bahawa keutamaan yang berbeza-beza antara negara-negara bererti pertubuhan global seperti itu tidak akan berjaya.

Program Alam Sekitar PBB (UNEP) ditubuhkan untuk menjadi “agensi kesedaran alam sekitar PBB” selepas persidangan pertama PBB mengenai Alam Sekitar Manusia di Stockholm pada tahun 1972, untuk mewarwarkan masalah yang wujud dan sebagai mekanisme penyelaras dasar pada peringkat global, serantau dan di dalam PBB sendiri.

Tetapi UNEP adalah sebuah agensi yang lemah, dengan kakitangan dan sumber kewangan yang kecil – hanya lebih sedikit daripada US$270 juta pada 2006-2007. Itu mungkin kedengaran seperti jumlah yang besar tetapi bagi sebuah agensi PBB jumlah itu adalah kecil. Sebagai bandingan, Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (UNFAO) mempunyai dana sekitar US$900 juta setahun dan Program Pembangunan PBB (UNDP) pula sekitar US$5 bilion.

Kelemahan UNEP bukanlah sesuatu yang tidak disengajakan: Tidak ada Negara yang mahu sebuah badan antarabangsa mempunyai autonomi untuk campur tangan dalam isu-isu nasional yang sensitif dari segi politiknya. Sebahagian besar tentangan itu datang dari negara-negara membangun, bermula sejak mesyuarat di Stockholm pada tahun 1972 lagi. Negara-negara itu kemudiannya menuntut agar Persidangan Bumi (Earth Summit) pada tahun 1992 beralih fokus daripada isu persekitaran kepada “pembangunan lestari”(sustainable development) – sebuah konsep yang meliputi pertumbuhan ekonomi

Negara-negara kaya kerap mahu membina Perjanjian Multilateral Alam Sekitar. Lebih dari 700 perjanjian telah pun wujud saat ini. Perjanjian-perjanjian ini menyusahkan Negara membangun kerana ia menambah beban ekonomi di negara-negara membangun walaupun mereka telah mengatakan dengan jelas bahawa mereka ingin memberi lebih penekanan pada pembangunan sosial dan ekonomi.

Pertubuhan Persekitaran Dunia (WEO) dikatakan akan dimodelkan seperti Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), dan berperanan untuk menyelaras pembiayaan, penyelidikan, teknologi baru dan tindakan kerajaan. Namun Amerika Syarikat, Russia, India dan China telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan menyertai pertubuhan baru ini.

Memang benar bahawa sebahagian besar negara-negara membangun turut serta dalam gerabak Copenhagen kerana mereka mengetahui bahawaia boleh memberikan mereka lebih banyak bantuan asing dan pemindahan teknologi, tanpa memerlukan pengurangan emisi karbon. Copenhagen member mereka peluang untuk meraih banyak keuntungan tanpa rugi apa-apa. Tetapi bagi Negara-negara yang baru sahaja, atau dalam proses, menyelesaikan masalah kemiskinan rakyatnya, seperti China dan India, situasi mereka sangat berbeza. Mereka dituntut untuk memotong emisi karbon dengan banyak, maka mereka menolak perjanjian yang cuba dibentuk di Copenhagen.

Selepas persidangan di Copenhagen, Menteri Perubahan Iklim Britain Ed Miliband mengecam “tentangan tidak wajar daripada sebilangan kecil negara membangun, termasuk China, yang tidak menginginkan perjanjian”. Tetapi bilangan Negara yang membantah akan bertambah besar apabila negara-negara membangun lain Berjaya dalam membangunkan ekonomi  mereka seperti yang dicapai oleh China dan India. Hakikatnya, pembangunan ekonomi yang mampan ialah satu-satunya strategi terbaik dalam menghadapi ancaman iklim masa kini dan masa hadapan.

Jika WEO diwujudkan, bilangan negara yang tidak mahu bekerjasama hanya akan akan bertambah. Sebagai contoh, walaupun negara-negara Amerika Selatan mahukan kredit untuk pemuliharaan hutan di bawah perjanjian iklim, mereka selalu menolak tuntutan dari negara-negara maju untuk menandatangani perjanjian global menentang penebangan hutan. Yang pasti, ada terlalu banyak bentuk masalah alam sekitar. Maka jika diwujudkan sebuah diktat global sudah pasti akan wujud pelbagai pengecualian dan pertikaian, terutamanya apabila membabitkan negara-negara miskin yang sangat perlukan pertumbuhan ekonomi.

Ada juga kebaikan semua masalah ini. Tidak ada sebab kenapa negara-negara kaya harus mempunyai hak ke atas hutan hujan Amazon atau terumbu karang lautan Pasifik. Gordon Brown ada  berkata: “Jangan lagi kita menghadapi kebuntuan yang akan menghalang kemajuan perbincangan mengenai hal ini”. Tetapi apa yang Brown anggap sebagai penghalang kemajuan sebenarnya ialah hak kedaulatan negara-negara lain untuk menentukan nasib mereka sendiri dalam kawasan mereka.

Apa yang jelas ialah tidak mungkin akan ada badan global yang boleh mengatasi masalah yang kini menghantui badan antarabangsa lain, iaitu bantahan politik terhadap usaha-usaha peringkat atasan untuk memaksa Negara lain menerima satu acuan penyelesaian yang seragam terhadap masalah yang kompleks. Seperti kata-kata wakil amerika Syarikat ke Copenhagen Jonathan Pershing: “PBB gagal menguruskan persidangan dengan baik,” tambahnya lagi secara berdiplomatik, “Saya tidak pasti jika PBB akan boleh menguruskan pembiayaan jangka pendek  dengan baik.”

Kegagalan Copenhagen menunjukkan bahawa negara-negara kaya perlu menghormati keperluan negara-negara miskin untuk membangunkan ekonomi mereka  jika mereka inginkan kerjasama untuk dunia yang lebih hijau. Negara kaya harus mengubah sikap dan memperkenalkan dasar-dasar yang positif untuk pertumbuhan ekonomi sedunia dan juga menggalakkan adaptasi terhadap perubahan iklim.


Caroline Boin, penulis tamu bagi AkademiMerdeka.org, adalah Pengarah Projek di International Policy Network, London.

Tag , .

Kenali AkademiMerdeka.org

AkademiMerdeka.org ialah satu projek pendidikan ide-ide libertarianisme dalam Bahasa yang dijalankan oleh Atlas Global Initiative for Free Trade, Peace and Prosperity.

Langgan feed RSS

Ikuti melalui Twitter

Sertai kami di Facebook

Kenali kami sepenuhnya »

© 2010 AkademiMerdeka.org