Saya mula mengenal karya Claude Frederic Bastiat (1801-1850) selepas membaca satira beliau, Petisyen Pembuat Lilin (Petition of Candlemakers). Ahli ekonomi dan kemudian salah seorang daripada penggubal dasar di Perancis ini telah menulis dengan menggunakan bahasa yang mudah bagi saya sebagai seorang rakyat biasa memahami hal kebebasan ekonomi dan hubungannya dengan kehidupan yang lebih luas.
Bergelut dengan pengalaman
Beliau yatim sejak berusia 10 tahun justeru dipelihara datuknya. Sejak umur 17, Bastiat membantu urusan perdagangan keluarganya. Lumrah manusia, kita mahukan keadilan dari segi peluang yang sama untuk membuat urusan hidup. Daripada pengalaman yang dilaluinya, ternyata ada hal yang mengganggu fikiran dan perasaan beliau tentang bagaimana urusan ekonomi dikendalikan. Beliau mula menulis untuk mendokong hak pemilikan individu, pasaran bebas dan menolak campur tangan kerajaan.
Berkarya
Hasil karya Bastiat hanya mula diterbitkan pada 1834 ketika beliau menolak petisyen usahawan dari Bordeaux, Lyon dan Le Havre yang mendesak penghapusan tarif untuk produk pertanian tetapi perlindungan untuk barangan pembuatan. Cara berfikir ini dinamakan dinamakan sistem saudagar (merchantilism). Bastiat menunjukkan ketinggian sikap seorang negarawan dengan menyatakan beliau bersetuju dengan desakan penghapusan tarif bagi produk pertanian tetapi menolak usul perlindungan untuk barangan pembuatan. Beliau berhujah bahawa “anda mahukan keistimewaan untuk sebahagian sedangkan saya mahukan kebebasan untuk semua”. Beliau menunjukkan garis beza antara kapitalis dan kapitalisme. Kapitalis boleh jadi siapa saja yang mahu berniaga, tetapi kapitalisme adalah sebuah sistem yang membenarkan semua jenis perniagaan tumbuh subur dengan memberi kebebasan bersaing di pasaran terbuka.
Bermula daripada itu, Bastiat giat menulis pelbagai isu berhubung pasaran bebas di Eropah. Beliau akhirnya dikenali sebagai pemimpin barisan hadapan yang mampu untuk membela pasaran bebas dengan hujah yang mantap. Karya-karya beliau kemudian dikumpul menjadi buku dan diterjemah dalam banyak bahasa agar idea pasaran bebas dapat diperluas untuk manfaat semua.
Idea-Idea Utama Bastiat
Bastiat telah menggunakan masa hidupnya dengan jumlah penulisan yang banyak. Untuk artikel ini, saya hanya mahu mengambil apa yang dekat dengan realiti pengalaman Malaysia: campur tangan yang banyak oleh kerajaan, dan dalam realiti masalah yang ada daripadanya, pasaran bebas tiba-tiba dipersalahkan dan wujud tuntutan untuk campur tangan kerajaan yang lebih banyak.
1. Keharmonian Ekonomi (Economic Harmonies)
Bastiat hidup sezaman dengan Karl Marx yang popular dengan “Teori Konflik Kelas”nya melalui karya Tentang Modal (Das Kapital). Di Malaysia, kita memang memiliki ramai ‘Karl Marx kecil’ daripada pelbagai kelompok. Lebih dahsyat lagi, ia dipakaikan jubah agama.
Jawapan beliau kepada hujah Marx dinyatakan dalam magnum opus-nya, Keharmonian Ekonomi (Economic Harmonies). Beliau menegaskan bahawa keharmonian pelbagai kehendak masyarakat hanya boleh berlaku jika dan selagi mana hak pemilikan harta individu dihormati dan tidak dicerobohi oleh sesiapa khususnya halangan kerajaan. Peranan sebenar kerajaan adalah untuk mencegah jenayah, curi-rompak dan mereka yang mahu mengaut kekayaan negara melalui dasar perlindungan. “Tidak ada dalam sifat pasaran bebas itu menjadikan keteraturan sebagai satu hal yang mustahil sejak mula” ujar beliau sebelum menambah “…hanya satu kelompok yang boleh menjadikan keteraturan spontan ini mustahil, iaitu mereka yang hidup dengan menceroboh harta yang lain”.
2. ‘Rompakan’ Kerajaan
Bastiat bukan saja membantah campur tangan kerajaan, bahkan menolak gesaan mana-mana pihak untuk melibatkan kerajaan untuk tujuan perlindungan. Sambil membangun hujah keharmonian ekonomi dengan pasaran bebas, beliau tidak lalai untuk menunjukkan campur tangan kerajaan adalah satu daripada jenis ‘rompakan’ yang harus ditolak.
Kerajaan pada asasnya adalah milik bersama. Justeru, kerajaan tidak wajar bertindak untuk kepentingan mana-mana pihak. Kerajaan tidak harus menjana kekayaannya sendiri dengan secara tidak langsung bersaing dengan pasaran. Oleh itu, segala bentuk bantuan daripada kerajaan memerlukan pengambilan daripada satu pihak untuk manfaat pihak yang lain. Ini adalah satu bentuk ‘rompakan’ atas nama hak bersama tadi.
Bagi Bastiat, kerajaan hanya diperlukan untuk menjalankan tugas-tugas tertentu sahaja. Beliau tidak menganggap kerajaan, tetapi undang-undang adalah pengikat kepada semua kepelbagaian yang ada. Tidak ada masyarakat yang boleh hidup bersama dengan segala kepelbagaian tanpa wujud kepatuhan kepada undang-undang pada tahap tertentu. Namun, Bastiat berhujah bahawa undang-undang itu sendiri mestilah terlebih dahulu daripada jenis yang boleh dihormati.
“Sebuah undang-undang yang bermoral” menurut Bastiat “bukanlah berasaskan undi majoriti. Oleh kerana tidak ada individu patut memperhambakan yang lain, maka tidak ada kumpulan individu yang boleh memiliki hak tersebut”. Justeru, agihan kekayaan berasaskan kehendak majoriti boleh menjadi satu ‘rompakan’!
Tahun-Tahun Akhir
Bastiat diangkat menjadi perwakilan dalam Perhimpunan Kebangsaan di Perancis pada April 1848. Meskipun Perancis sedang dilanda badai ekonomi dan kekalahan perang, beliau mengambil pendirian jelas untuk membela pasaran bebas, mendorong kemerdekaan individu, menolak campur tangan kerajaan dan menegaskan kepentingan kedaulatan undang-undang. Beliau memilih untuk membezakan apakah dasar yang baik dengan populariti politik yang harus diambil. Beliau ternyata benar apabila desakan hangat majoriti rakyat akhirnya hanya mengangkat seorang lagi diktator Perancis atas nama cuba memulihkan masalah yang ada.
Penutup
Dua tahun terakhir hidupnya, Bastiat sempat menyiapkan dua buah buku penting: Undang-Undang (The Law) dan Apa yang Dapat Dilihat dan Apa yang Tidak Ternampak (What is Seen and What is Not Seen). Mesej berprinsip beliau harus diingat; bahawa undang-undang hanya bertujuan memberikan keadilan. Jika tidak “ia akan menafikan hak yang seharusnya dibela, dan pembelaan akan menjadi satu jenayah yang sepatutnya ia cegah”. Ketika itu ia memberi satu kelebihan luar biasa kepada mereka yang mendapat kuasa melalui jalan politik.
Beliau meninggal kerana batuk kering ketika usianya relatif muda. Namun, buah fikirannya kekal relevan sehingga kini, dan kita di Malaysia juga boleh memanfaatkannya.
—
Noor Amin bin Ahmad, 28 ialah penerima biasiswa Frederic Bastiat untuk menghadiri Kursus Musim Panas anjuran Universiti Cato pada tahun 2008 di San Diego, California. Beliau merupakan seorang Associate di Institute for Democracy and Economic Affairs (www.IDEAS.org.my).
Bahagian ketujuh terjemahan What Is Seen and What Is Not Seen.
Pengantar Dr Tom G. Palmer bagi buku Hukum karya Friedric Bastiat.
Pengantar tulisan Hayek mengenai Bastiat
AkademiMerdeka.org ialah satu projek pendidikan ide-ide libertarianisme dalam Bahasa yang dijalankan oleh Atlas Global Initiative for Free Trade, Peace and Prosperity.
© 2010 AkademiMerdeka.org