Sebagai menyambut ulang tahun kelahiran Frederic Bastiat (lahir 30 Jun 1801),www.AkademiMerdeka.org mengusahakan penterjemahan berkala karya penting beliau bertajuk “What Is Seen and What Is Not Seen?”. Di bawah ialah penterjemahan bahagian kedua.
Terjemahan oleh NOOR AMIN BIN AHMAD, Ahli Bersekutu di Institute for Democracy and Economic Affairs (www.IDEAS.org.my), Malaysia. Beliau pernah menerima biasiswa Frederic Bastiat untuk menghadiri kursus musim panas anjuran Cato University di San Diego, California.
Pembubaran (1)
Negara sama kesnya seperti seorang manusia. Bila seorang manusia berhajat memenuhi kepuasan diri, mereka akan melihat sama ada nilainya berbaloi. Untuk sebuah negara, keselamatan adalah nilai yang paling tinggi. Jika untuk mencapainya memerlukan seratus ribu orang direkrut dan seratus juta francs dibelanjakan, saya tidak akan mempertikainya. Ia satu pembayaran yang berbaloi untuk sebuah pengorbanan.
Mari kita rungkai salah faham terhadap maksud yang saya mahu ketengahkan dalam subjek ini.
Seorang penggubal dasar mencadangkan penarikan semula seratus ribu orang ini (pembubaran mereka daripada batalion tentera – penterjemah), yang secara tidak langsung akan menghilangkan beban cukai rakyat sebanyak seratus juta francs.
Barangkali kita akan mengatakan kepada lelaki tersebut: “Seratus ribu orang dan seratus juta francs ini tidak ternilai untuk keselamatan negara. Ia satu pengorbanan; tetapi tanpanya Perancis akan kucar-kacir dengan pergeseran dalaman atau dijajah dari luar”. Saya tidak ada bangkangan terhadap hujah ini meskipun ia mungkin benar atau salah tetapi secara teoretikal ia tidak mengandungi apa-apa penyimpangan. Penyimpangan bermula bila pengorbanan itu dilihat sebagai satu kelebihan, bila ia memberi keuntungan kepada seseorang.
Kini, jika saya tidak silap, tidak lama lagi penulis cadangan ini akan turun dari pentas dan seorang pemidato akan segera naik dan berkata:
“Tarik semula seratus ribu lelaki ini? Apa yang anda fikirkan? Apa akan jadi kepada mereka? Apa akan membuatkan mereka terus hidup? Pendapatan mereka? Tahukah anda pengangguran kian meningkat dan lebihan pekerja berlaku? Anda mahu mereka bersaing di pasaran dan menekan nilai upah? Pada saat hidup sukar, bukankah nasib baik kerajaan memberi makan kepada seratus ribu mereka ini? Fikirkan lagi bahawa tentera ini menggunakan wain, pakaian dan senjata, di mana ia membantu perniagaan di kilang-kilang dan sejumlah bandar, dan ianya satu rahmat buat pembekal. Tidakkah anda melihat ia sebagai satu idea yang besar untuk mencapai matlamat perindustrian akhirnya?”
Kami menyimpulkan ucapan yang mempertahankan keperluan seratus ribu tentera ini bukan kerana keperluan negara sebagaimana lazimnya tugas tentera tetapi kerana alasan ekonomi. Jika ini pertimbangan tunggal yang ada, saya akan membantah.
Seratus ribu orang dibayar dengan cukai rakyat sebanyak seratus juta francs, perlu hidup dan menyediakan peluang membina kehidupan kepada pembekal mereka sebanyak mana satu juta francs boleh diguna: itu yang dapat dilihat.
Tetapi satu ratus juta francs bersumber dari pembayar cukai, dialihkan daripada keperluan mereka kepada sejumlah pembekal: ini apa yang tidak dilihat. Hitung, kira dan beritahu saya di mana keuntungan kepada orang ramai?
Saya akan memberitahu anda di mana kerugian berlaku dan untuk memudahkan, daripada bercakap tentang seratus ribu orang dan seratus juta francs, mari kita ambil satu orang dan seribu francs.
Katakan kita di kampung A. Mereka yang merekrut membuat pencarian dan dapat seorang lelaki. Pemungut cukai juga membuat satu rondaan mendapatkan satu ribu francs. Lelaki tersebut dan wang cukai yang dipungut dibawa ke Metz (satu daripada wilayah di Perancis – penterjemah) dan menghabiskan hidupnya atas nama keselamatan hidup orang lain untuk tempoh satu tahun tanpa perlu bersusah payah. Jika kita hanya melihat situasi di Metz, anda akan betul beratus kali, bahawa ia amat menguntungkan. Tetapi jika anda mengalih perhatian kepada kampung A, anda akan melihat sebaliknya, kecuali jika anda tidak nampak bahawa kampung tersebut kehilangan seorang tenaga kerja dan juga satu ribu francs untuk membiayai tenaga kerjanya, dan perniagaan yang terpaksa menanggung satu ribu francs untuk seorang lelaki tadi akan memburukkan lelaki ini.
Sekali tengok, kehilangan ini telah dibayar. Apa yang lelaki tersebut boleh lakukan di kampung A kini dibuat di Metz, maka ia sama. Tetapi kerugiannya ialah: di kampung lelaki tersebut akan bekerja dan di Metz dia akan dipakaikan “Pakaian Kanan!” dan “Pakaian Kiri” (merujuk kepada aliran politik yang bertembung): dia menjadi tentera. Wang yang terlibat dan pengedarannya adalah sama dalam kedua-dua kes, tetapi dalam satu kes, ia adalah tiga ratus hari kerja yang produktif dan dalam satu satu kes lain pula tiga ratus hari kerja yang tidak produktif, dengan anggapan sebahagian daripada pegawai tentera tidak penting untuk keselamatan awam.
Kini tiba masa pembubaran. Ada lebihan seratus ribu pekerja dengan persaingan dan juga tekanan kepada kadar upah. Itu apa yang dapat dilihat.
Tetapi di sini ada yang tidak kelihatan. Anda tidak melihat penghantaran pulang seratus ribu askar tidak ada kena mengena dengan seratus juta francs yang dibayar orang ramai melalui cukai. Anda tidak nampak bila seratus ribu mereka ini kembali ke pasaran kerja biasa, sama seperti membuang kembali seratus juta francs yang dikutip bagi menanggung mereka, yang sepatutnya diguna untuk membayar kerja mereka, di mana kesan daripadanya ialah peningkatan penawaran dan permintaan pekerja di mana penurunan kadar upah sebagai ikutan daripadanya hanyalah khayalan. Anda tidak melihatnya sebelum dan selepas, bahawa semasa pembubaran, terdapat seratus juta francs untuk seatus ribu lelaki; bahawa keseluruhan yang membezakannya terkandung di dalam ini: bahawa sebelumnya, kerajaan memberi seratus juta francs kepada satu ratus ribu orang tanpa melakukan apa-apa; kemudian diberikan lagi mereka duit untuk bekerja. Akhirnya, anda tidak nampak bila pembayar cukai memberikan duit mereka, sama ada kepada tentera untuk pertukaran kosong atau kepada pekerja dengan menukar sesuatu. Semua sebab yang jauh dalam edaran wang ini sama dalam kedua-dua kes: kecuali kes kedua pembayar cukai mendapat sesuatu sebagai tukaran berbanding yang pertama tidak ada. Hasilnya: kerugian kepada negara.
Pemikiran yang saya serang di sini tidak akan mampu bertahan untuk diuji dengan pemanjangan tempoh perlaksanaan, di mana ia menjadi ujian asas kepada prinsip teori yang dikemukakan. Jika menurut semua pertimbangan, keuntungan negara dapat ditingkatkan dengan pertambahan saiz bilangan tentera, kenapa tidak mengerah semua lelaki di dalam negara menjadi tentera?
Bersambung…
(1) Bastiat hidup di era politik yang rusuh di mana beliau menyaksikan pergolakan demi pergolakan berlaku di Perancis dan yang paling keras pada tahun 1830 dan 1848. Ia merupakan lanjutan daripada Revolusi Perancis 1789, lebih sedekad sebelum beliau lahir. Semua ini mendorong kepada pembentukan dan pembubaran tentera dari masa ke masa. Perancis juga telah lama diperintah melalui sistem monarki mutlak. Meskipun berlaku kepincangan monarki, ia tidak sebanding dengan siri kezaliman pasca Revolusi Perancis. Bermula daripada banyak perkara yang dilaksanakan Raja Louis XVI pada 1793 dan Perang Waterloo 1815, kesengsaraan dan kematian melanda Perancis. Para intelektual Perancis telah bangun menyatakan sikap mereka melalui banyak penulis dan ruang menyatakan pandangan, namun ia diabaikan oleh para diktator yang silih berganti pada masa itu [nota penterjemah].
