Sebagai menyambut ulang tahun kelahiran Frederic Bastiat (lahir 30 Jun 1801), www.AkademiMerdeka.org mengusahakan penterjemahan berkala karya penting beliau bertajuk “What Is Seen and What Is Not Seen?”. Di bawah ialah penterjemahan bahagian ketiga.

 Terjemahan oleh NOOR AMIN BIN AHMAD, Ahli Bersekutu di Institute for Democracy and Economic Affairs (www.IDEAS.org.my), Malaysia. Beliau pernah menerima biasiswa Frederic Bastiat untuk menghadiri kursus musim panas anjuran Cato University di San Diego, California.

 

Percukaian

Pernahkah anda mendengar sesiapa berkata: “Cukai adalah pelaburan terbaik; seperti pemberi kehidupan. Lihatlah bagaimana banyak keluarga meneruskan kehidupan, seterusnya bayangkan bagaimana kesan tidak langsung kepada industri; ia tidak terhitung seperti kehidupan itu sendiri”.

Untuk memerangi doktrin ini, saya mahu mengulang penyangkalan yang telah dinyatakan sebelum ini. Ekonomi-politik sangat mengetahui bahawa hujah-hujah ini tidak cukup untuk mengelak sesiapa berkata tentangnya: Repetita placent; satu pengulangan untuk menggembirakan. Maka, seperti Basile , ekonomi-politik telah ‘menyusun’ perkataan untuk kegunaannya tersendiri, agak meyakinkan, dari mulutnya sendiri bahawa Repetita docent: pengulangan akan mengajar kita.

Kelebihan-kelebihan yang dinyatakan oleh pegawai kerajaan berkaitan gaji mereka adalah perkara yang dapat dilihat. Keuntungan yang diperolehi oleh pembekal barangan keperluan mereka juga adalah perkara yang dapat dilihat. Ia sangat jelas di depan mata.

Tetapi kekurangan dalam bentuk bayaran cukai oleh pembayarnya adalah sesuatu yang tidak ternampak, dan tekanan kepada peniaga yang membekalkan barangan keperluan mereka adalah sesuatu yang lebih lagi tidak dapat dilihat meskipun ia sepatutnya dapat dilihat dengan jelas secara intelektual.

Bila seorang pegawai kerajaan berbelanja lebih seratus sous  untuk dirinya, ia bermaksud pembayar cukai membelanjakan kurang seratus sous untuk dirinya. Namun, perbelanjaan pegawai kerajaan tersebut dapat dilihat kerana dia membayar; sementara bayaran oleh pembayar cukai tidak kelihatan, kerana dia tidak berpeluang melakukannya (kerana duit tersebut telah digunakan untuk membayar cukai).

Anda bandingkan sebuah negara sebagai sebidang tanah kontang dengan cukai untuk setiap titik hujan yang boleh dianggap sebagai pemberi harapan kehidupan. Itulah ia. Tetapi anda juga perlu bertanyakan diri sendiri dari manakah hujan ini datang, dan adakah ia sama dengan cukai yang menjadikan tanah tersebut gersang.

Anda perlu bertanya lanjut kepada diri sendiri sama ada tanah tersebut menerima lebih banyak air yang berharga ini daripada hujan berbanding apa yang hilang daripadanya semasa proses penyejatan berlaku.

Apa yang pasti ialah, ketika James Goodfellow membayar seratus sous kepada pengutip cukai, beliau tidak menerima apa-apa sebagai pulangan. Apabila pegawai kerajaan kemudian membayar tiga ratus sous, mengembalikannya kepada James Goodfellow, nilainya setara dengan gandum atau dalam buruh. Hasil akhirnya ialah kehilangan sebanyak lima francs kepada James Goodfellow.

Seringkali sama bahkan selalunya pegawai kerajaan ini menunjukkan satu khidmat yang sama dengan James Goodfellow. Dalam kes ini, kehilangan tidak berlaku kepada kedua-dua pihak dan hanya terdapat satu proses pertukaran. Justeru, hujah saya tidak akan dibuat berkaitan fungsi-fungsi berguna. Saya katakan: jika anda mahu mewujudkan sebuah pejabat kerajaan, buktikan kegunaannya. Tunjukkan kepada James Goodfellow bahawa kosnya berbaloi untuk khidmat yang dibayar olehnya. Namun selain nilai asal utiliti ini, kelebihan kepada birokrat, keluarga mereka dan mereka yang membekal keperluan mereka, termasuk mendorong pembukaan peluang kerja baru tidak perlu dinyatakan sebagai hujah untuk menyokong pembukaan biro baru.

Ketika James Goodfellow memberikan seratus sous kepada seorang pegawai kerajaan untuk mendapatkan khidmat yang berguna, ia sama jika dia memberikan seratus sous kepada seorang tukang kasut untuk membaiki sepasang kasutnya. Ianya satu kes memberi dan menerima (give and take) dan hasilnya sama. Tetapi ketika James Goodfellow memberikan seratus sous kepada pegawai kerajaan dan tidak mendapat apa-apa khidmat daripadanya atau berdepan dengan banyak kesukaran, seolah-olah dia telah memberikan wangnya kepada seorang pencuri. Tidak ada gunanya mengatakan pegawai kerajaan itu akan membelanjakan seratus sous ini untuk pulangan besar industri nasional kita; lebih banyak pencuri ini boleh lakukan dengannya, lebih banyak James Goodfellow boleh lakukan dengannya jika dia tidak berdepan dengan tambahan perundangan (extralegal) atau parasit yang sah ini.

Biasakanlah diri kita untuk tidak menghakimi apa juga hal sepenuhnya dengan apa yang dapat dilihat tetapi juga dengan apa yang tidak dapat dilihat. Tahun lalu saya berada dalam Jawatankuasa Kewangan kerana Wakil Rakyat Pembangkang tidak secara sistematik dikeluarkan daripada semua jawatankuasa Perhimpunan Kawasan (Parlimen). Melaluinya, penggubal Perlembagaan telah bertindak dengan bijak. Kita mendengar M. Thiers   berkata “Saya telah menghabiskan hidup saya berdepan dengan kumpulan pekerja dan mereka yang berkuasa. Kerana kita berdepan cabaran bersama, saya telah cuba mengenali mereka dengan bercakap dari hati ke hati dan saya mendapati mereka tidaklah seburuk yang dibayangkan.”

Ya, kebencian kian menjadi-jadi dan permusuhan kian tajam apabila manusia tidak bergaul; dan jika majoriti membenarkan kumpulan minoriti menembusi sempadan-sempadan semua jawatankuasa yang ada, mungkin itu akan lebih dihargai oleh semua pihak yang idea-idea mereka sebenarnya tidak jauh terpisah dan paling penting niat mereka adalah munasabah.

Namun itu mungkin tahun lalu ketika saya masih dalam Jawatankuasa Kewangan. Setiap kali rakan-rakan sekerja saya menyuarakan isu gaji yang sederhana kepada Presiden Republik, para jemaah menteri dan duta, mereka akan diberitahu bahawa:

“Untuk mendapatkan khidmat terbaik, kita mesti melimpahkan mereka dengan aura prestij dan martabat yang tertentu. Itu adalah cara mendorong mereka yang berkelayakan mengisi kedudukan tersebut. Mereka yang memerlukan bantuan akan pergi kepada Presiden Republik dan Presiden akan bermasalah jika dia tidak dapat atau enggan membantu. Satu peruntukan yang banyak perlu untuk menunjukkan satu kelebihan di pejabat kementerian dan pejabat diplomatik kerana mereka adalah jentera kerajaan berperlembagaan, dan sebagainya….”

Sama ada hujah yang demikian boleh dipertikaikan atau tidak, ia memerlukan penelitian serius. Ia didasarkan kepada kehendak awam, sama ada dibuat secara salah atau benar; dan secara peribadi, saya boleh mendatangkan lebih daripada satu kes untuk mereka berbanding para Ahli Dewan Senat yang digerakkan dengan semangat sempit yang lemah dan penuh kedengkian.

Apa yang mengejutkan kesedaran ekonomi saya dan membuatkan saya malu dengan para intelek negara ini ialah, ketika mereka terus menggunakan hujah-hujah ini (sebagaimana mereka tidak pernah gagal menggunakannya) bagi perkara-perkara yang tidak masuk akal (dan selalunya diterima dengan baik):

“Selain itu, kemewahan para pegawai tinggi kerajaan menggalakkan kemajuan industri, seni dan pekerjaan. Ketua kerajaan dan para menterinya tidak boleh membuat jamuan-jamuan serta menyambut perayaan tanpa menjaga semua kepentingan politik mereka. Usaha untuk mengurangkan gaji mereka akan menjadikan industri di Paris bahkan seluruh negara ‘mati’.”

Demi syurga tuan-tuan, sekurang-kurangnya hormatilah aritmetik serta jangan hadir pada Perhimpunan Negara Perancis dan berkata (yang tidak sepatutnya-penterjemah), kerana ditakuti ia cuma akan memalukan, sebab ia tidak akan menyokong hipotesis kamu yang menyatakan proses penambahan akan memberikan jawapan berbeza bergantung kepada sekiranya ditambah dari atas ke bawah atau bawah ke atas.

Baik, saya andaikan buruh kasar menggali parit di tanah saya (bagi membolehkan saliran air bergerak-penterjemah) untuk mendapatkan seratus sous. Sebaik saja saya menyelesaikan perjanjian, pemungut cukai mengambil seratus sous dari saya dan memberikannya kepada Menteri Dalaman. Kontrak saya terbatal tetapi Menteri dapat menambah satu lagi hidangan untuk makan malamnya. Atas dasar apa anda mahu mengesahkan bahawa belanja rasmi ini adalah satu penambahan kepada industri nasional? Tidakkah anda melihat bahawa ia hanya satu pemindahan mudah perbelanjaan dan kerja? Seorang menteri kabinet mendapat makanan mewah di atas mejanya, benar; tetapi seorang petani yang saliran air ke tanahnya berkurangan, ini juga benar. Seorang pembekal makanan untuk pegawai tadi di Paris mendapat seratus sous, hasil pemberian saya; tetapi ia menyebabkan penggali di satu tanah saya kehilangan lima francs. Apa yang dapat dilihat ialah hidangan rasmi diberikan dan pembekal makanan berpuas hati tetapi tanah yang digenangi air dan penggali yang tidak dapat bekerja ialah apa yang tidak dapat dilihat.

Oh Tuhan! Kenapa begitu sukar untuk membuktikan bahawa dalam ekonomi politik bahawa dua dicampur dua akan menghasilkan empat; dan jika anda berjaya membuktikannya, ada pula yang berteriak “Ia sangat jelas dan membosankan.” Kemudian mereka membuat pilihan seolah-olah ianya tidak pernah dibuktikan langsung.

Bersambung…

 

[i] Dalam Aksi II The Barber of Seville, Basile, seorang pemuzik berkata: “Aku telah menyusun beberapa variasi perkataan”.

[ii] Mata wang Perancis, lebih kurang sama nilai dengan sen.

[iii] Adolphe Thiers (1797–1877), negarawan Perancis dan juga ahli sejarah terkenal. Dalam karier panjang politik beliau pernah menjadi Timbalan dan Perdana Menteri (1836 dan 1840), dan pada akhirnya dipilih menjadi Presiden Republik yang Ketiga pada tahun 1871.