Mutakhir ini Kapitalisma tidak mendapat liputan yang baik, dan apabila ia berkait dengan dunia perfileman kapitalisma seakan tidak pernah mendapat layanan yang bagus. Dalam filem, selalunya kapitalisma akan diperankan sebagai watak jahat. Adakah seseorang telah dibunuh? Penduduk-penduduk di sebuah pekan kecil mati kerana kanser? Alam sekitar telah dicemari? Tak perlu cari lebih jauh untuk watak CEO sebuah syarikat besar. Cepat, namakan sebanyak mungkin yang boleh – filem-filem yang mengetengahkan kapitalis sebagai wira. “Batman Forever” dan “Iron Man” tak boleh diambilkira. Ada juga filem yang bukan sebegitu (“The Edge,” ‘You’ve Got Mail”) tetapi ianya merupakan senarai yang pendek. Sekarang, namakan sebanyak mungkin filem yang memaparkan penjahat korporat dan syarikat besar yang melakukan pembunuhan beramai-ramai? Yang ini mudah:”The Fugitive,” “Syriana,” “Mission Impossible II,” “Erin Brockovich,” “The China Syndrome” dan “Avatar,” untuk senaraikan sebilangan kecil dari bentuk filem sebegini.
Bahkan bila sebuah syarikat bukan penjahat utama, Hollywood membiarkan kebenciannya pada perniagaan terlihat jelas. Watak yang paling menjijikkan dalam siri filem “Star Wars” adalah Jabba the Hutt, mewakili pedagang, secara harfiahnya melambangkan seorang yang gila berniaga. Dan jika mesej itu tidak berapa jelas,terdapat sebuah novel grafik yang menonjolkan Jabba, diberikan tajuk ”Jabba the Hutt: Seni Perjanjian Perniagaan”. Oh ya, “Star Trek”, juga lebih kurang sama. Puak kapitalis dalam “Star Trek” juga diwakili oleh watak hodoh berebut duit yang dipanggil Ferengi, yang membuat keuntungan mengikuti undang-undang seperti “Para pekerja adalah tingkat-tingkat pada tangga menuju kejayaan-tak perlu malu-malu untuk memijak mereka.”
Sikap anti-kapitalisma Hollywood bukanlah sesuatu yang tidak disengajakan. Ia berpunca dari tiga sumber: kemarahan para pengarah dan penulis lakonlayar terhadap penaja kapitalis mereka, kesukaran menggunakan medium visual untuk menggambarkan ‘tangan-tangan ghaib’, dan sebuah kerangka etika yang dikongsi Hollywood bersama kebanyakan sosio-budaya yang menganggap kepentingan individu sebagai semulajadinya tidak bermoral, atau paling baik –tiada prinsip langsung.
Melihat kepada skop yang lebih besar, gabungan seni dan kapitalisma adalah serasi bersama. Era yang paling hebat dalam sejarah seni adalah selalunya waktu dimana masyarakat adalah relatifnya mewah dan terdapat tumbesaran ekonomi, seperti yang dibincangkan oleh ahli ekonomi Tyler Cowen dalam bukunya “In Praise of Commercial Culture”(Memuji Budaya Komersial). Kapitalisma-lah yang mencipta kekayaan yang menyokong penghasilan karya artistic, dan kapitalisma lah yang memberi artis teknologi baru dan media untuk digunapakai. Tetapi apabila membikin filem-filem tertentu, kapitalisma dan seni berada dalam konflik.
“Ekonomi,” tulis pengarah Sydney Pollack, “adalah faktor paling menyekat untuk seorang pengarah arus perdana yang membikin filem.’ Hollywood memerlukan kapitalis, tetapi dengan jumlah berjuta-juta yang dipertaruhkan, kapitalis tidak memiliki pilihan banyak melainkan mengekang para penulis dan pengarah apabila versi mereka bertentangan dengan keuntungan. Jika khalayak mahukan pengakhiran yang gembira, kaum pemodal akan mengarahkan semakan tidak kiralah samada penulis lakonlayar merasakan itu menyalahi integriti seni. (Tekanan terhadap pembuat filem untuk menghasilkan ‘pengakhiran gembira’ paling diingati dalam ejekan oleh Robert Altman dalam “The Player”)
Para pengarah dan penulis lakonlayar melihat puak pemodal sebagai penghalang, suatu kuasa yang mencegah mereka daripada memenuhi visi mereka. Sebaliknya, pemodal melihat para artis sebagai terlalu manja. Kapitalis bekerja keras untuk menghasilkan apa yang dikehendaki pengguna. Para artis yang bekerja terlalu keras untuk menghasilkan apa yang pengguna mahu selalunya dituduh sebagai menjual maruah diri.
Maka bahkan bahasa kapitalisma dan seni juga berkonflik: sebuah syarikat yang telah “terjual habis” telah berjaya, tetapi seorang seniman yang telah “terjual habis” telah gagal.
Pelukis tidak membenci kaum kapitalis yang menjual cat kepada, kerana mereka tidak memerlukan sokongan kapitalis. Tapi pembuat filem perlu kapitalis untuk sokongan kewangan, dan kerana itu kebencian mereka terhadap kapitalis sangat kuat. Profesor undang-undang dan penganalisis filem University of Illinois, Larry Ribstein telah menulis sebuah makalah menyatakan bahawa pembuat filem seakan masuk ke dalam “Perjanjian Faust” untuk menghasilkan seni mereka. Pembuat filem melihat diri mereka seperti menjual sebahagian jiwa seni mereka untuk membuat filem mereka, dan tentulah mereka marah terhadap ‘iblis’ yang mengatur pembelian. Ini tidak memerlukan Freud untuk melihat bahawa kemarahan ini ada tercurah ke paparan layar perak.
Pertimbangkan dua filem terlaris, rekod kutipan tertinggi sepanjang masa: karya James Cameron “Avatar” dan “Titanic.” Yang pertama memperlihatkan watak syarikat pembunuhan dan yang kedua menonjolkan seorang kapitalis yang menghantar lebih daripada 1,000 orang kepada kematian mereka dengan mengutamakan kelajuan lebih dari keselamatan atas nama keuntungan. Bahkan, walaupun berjaya, En. Cameron adalah seorang pengutuk syarikat yang terkenal. Dalam filem “Aliens”, misalnya, sebuah syarikat mengorbankan manusia dalam usaha untuk mendapat keuntungan dari raksasa asing. En. Cameron juga terkenal akan kebenciannya kepada sistem studio dan para eksekutif yang cuba untuk menyekat visi artistik nya atau belanjawannya.
Walaupun Hollywood ada juga menghasilkan filem pro-kiri seperti ‘Reds”, ia tidak mempunyai rasa cinta untuk ideologi sosialis (tengoklah kereta-kereta Porsche di Hollywood Hills). Zaman komunis dan sosialis Hollywood telah diasaskan atas persetujuan yang di dalam syurga sosialis artis-artis akan dibebaskan dari cengkaman kapitalis dan bebas untuk memenuhi visi mereka. Sedangkan Hollywood pun sudah tidak ramai yang betul-betul mempercayai persetujuan ini.
Tetapi Hollywood memang mengongsi konsep pengasingan Marx, idea yang mana di bawah sistem kapitalis pekerja-pekerja adalah diasingkan dari hasil kerja mereka dan dibuat merasa seperti bongkah-bongkah dalam sebuah mesin, bukannya penghasil produk yang bebas. Penulis lakonlayar yang digolongkan sebagai bawahan adalah ilustrasi sempurna untuk apa yang difikirkan oleh Marx – penulis ini boleh mencurahkan jiwaraganya ke dalam kerjanya hanya untuk melihat skrip itu ditulis semula, diopsyen, diulangkaji, dikerjakan semula, ditulis kembali dan diubah, ubah, dan ubah oleh bersilihganti pengarah, produser dan yang paling teruk oleh eksekutif studio. Seorang penulis lakonlayar boleh dikira berjaya di Hollywood tanpa walau sekalipun melihat hasil karyanya yang sebenar diterjemahkan kepada filem. Maka, kebencian pembuat filem terhadap kapitalisma adalah bukan kerana ideologi tetapi lebih kepada pengalaman keadaannya. Para penulis lakonlayar dan pengarah mendapati mereka berada dalam peperangan setiap hari antara seni dan perniagaan, dan mereka akhirnya melihat peperangan dengan “baju sut” ini sebagai perlambangan untuk perang yang lebih besar antara tenaga buruh kreatif dan modal.
Sebab yang kedua dan yang agak mengejutkan mengapa Hollywood gagal untuk memahami kapitalisma berakar dalam cara (yang sudah diguna dan diuji berjaya) ia menceritakan sebuah kisah yang bagus. Filem memfokus kepada watak-watak individu, pilihan dan aksi kerana disitulah adanya drama. Benar, para usahawan adalah aspek utama kapitalisma, dan sebilangan filem seperti “Tucker” oleh Francis Ford Coppola memang memfokus kepada usahawan. Tetapi untuk benar-benar memahami kapitalisma kita perlu melangkaui peringkat watak untuk melihat kuasa-kuasa yang tersembunyi yang mengkoordinasi kelakuan berjuta-juta individu di sekeliling dunia.
Penghasilan dan penghantaran produk yang sangat ringkas melibatkan usaha beribu-ribu orang yang berada di pelbagai lokasi di dunia, mungkin tidak ada seorang pun dari mereka yang memahami walau sebahagian kecil dari proses keseluruhan. Ianya bukan hasil tangan salah seorang dari para usahawan, tetapi sebenarnya “tangan ghaib” yang menghantar sekuntum ros dari taman di Columbia ke pasar bunga besar di Aalsmeer, Holland, dan seterusnya kepada penjual bunga di Chicago yang menjualnya kepada seorang lelaki muda romantic yang menghadiahkan bunga ros itu kepada buah hatinya pada Hari Valentine.
Sememangnya sukar untuk mempersembahkan kerangka besar kapitalisma yang sangat bernuansa dan halus dalam masa dua jam, kerana itu salah satu dari karya untuk menampilkannya adalah siri televisyen sebanyak lima musim “The Wire”. Seperti sekian banyak filem dan siri televisyen, para kapitalis di dalamnya adalah pembunuh yang kejam. “The Wire” cuma membuat watak sterotaip lebih realistic dengan menjadikan usahawannya sebagai pengedar dadah. Tetapi, walaupun ia menggunakan watak, “The Wire” sebenarnya adalah mengenai bagaimana watak individu didominasi oleh kuasa ekonomi yang lebih berpengaruh: pengedar dadah datang dan pergi, tetapi pasaran dadah adalah kekal. “Kapitalisma adalah ‘tuhan’ terhebat dalam The Wire. Kapitalisma adalah Zeus,” kata David Simon, pencipta rancangan tersebut.
Sepanjang lima musim siri itu ditayangkan, “The Wire’ memaparkan bagaimana wang dan pasaran-pasaran mengkaitkan dan menyilangkan kehidupan para warga kulit putih dan hitam, kaya dan miskin, penjenayah dan polis dalam jaringan yang besar yang tiada satu pun dari mereka benar-benar fahami – sebuah hasil daripada tindak-tanduk manusia tetapi bukan hasil rekakerja manusia. Tangan ghaib yang menentukan kesemuanya, seperti diingatkan kepada kita oleh En. Simon secara halus dalam penutup kepada musim ketiga, apabila detektif McNulty dengan hebatnya menarik sebuah buku dari rak pengedar dadah yang dibunuh, Stringer Bell, dan kemudian kamera memfokuskan pada tajuk buku itu: “The Wealth of Nations” karya Adam Smith.
Metafora Smith tentang ‘tangan ghaib’, seperti Zeus yang disebut oleh En. Simon, memberitahu kita bahawa untuk memahami dunia ini kita perlu melihat lebih jauh melangkaui tindakan oleh individu-individu untuk menyaksikan kesan tindakan kuasa-kuasa yang lebih besar. Tetapi Zeus adalah seorang dewa yang tak dapat diduga dan selalu bertindak sewenang-wenangnya seperti melontarkan kilat dari angkasa tanpa sebab dan arah. “Tangan ghaib” Smith pula, adalah sejenis ‘tuhan’ yang lebih penyayang, dewa yang tidak memperdulikan walau sedikitpun tentang individu-individu tetapi tetap membimbing kepentingan diri individu kearah kebaikan social, kemajuan dan pertumbuhan ekonomi. Jadi En. Simon memahami yang pekerja di dermaga Baltimore kehilangan pekerjaan mereka kerana perubahan tanpa belas kasihan yang dibawa oleh kapitalisma, dan bukan kerana kesalahan mereka sendiri. Tetapi Adam Smith nampak apa yang Simon tidak nampak, iaitu kapitalisma lah yang memberi pekerja pemunggah muatan kapal di Baltimore itu gaji tinggi mereka pada awalnya dan ‘perubahan tanpa henti atau belas kasihan kapitalisma’ lah yang secara perlahan-lahan menaikkan nilai gaji di seluruh dunia.
Hollywood inginkan heronya berwatak baik, tetapi ia mendefinisikan kebaikan dengan cara yang mengecualikan setiap tindakan yang mementingkan diri sendiri. Jika kebaikan hanya bererti meletakkan orang lain melebihi diri sendiri, maka jelas bahawa kebanyakan orang, apalagi sebahagian besar kapitalis, sangatlah tidak baik dan tidak berbudi luhur. Akibatnya, satu-satunya pertahanan untuk kapitalisma yang semua orang tahu adalah pidato Gordon Gekko daripada filem “Wall Street”: “Ketamakan, kerana tidak ada kata yang lebih baik, adalah baik. Tamak itu betul. Tamak berkesan..” Tetapi walaupun hujah Gekko mempunyai unsur kebenaran, ianya tidak memberi inspirasi, dan itulah sebabnya mengapa Gekko tetap merupakan watak penjahat dalam “Wall Street,” dan bukan hero.
Hujah lebih bagus untuk mempertahankan kapitalisma adalah dengan memfokus kepada ciri-ciri baik kapitalis. Dalam “The Pursuit of Happyness,” contohnya, Chris Gardner, seorang jurujual yang berjuang dengan hidupnya setiap hari yang dilakonkan oleh Will Smith, menentang kesusahan dengan bekerja keras, kerja kreatif, cita-cita dan kebijaksanaan. “The Pursuit of Happyness” ada kalanya terlalu digula-gulakan, tetapi kisah kemaraan Gardner dari tidak mempunyai tempat tinggal hingga mendapat pekerjaan berjaya sebagai broker saham adalah penuh dengan drama dan motivasi, yang mana menjadikan ia lebih menghairankan tidak ada lebih banyak filem menggunakan dunia perniagaan sebagai latar cerita yang hebat.
Terdapat banyak filem yang memaparkan watak orang yang punya pekerjaan yang menghancurkan jiwa dirinya, dan akhirnya mereka melarikan diri untuk menemukan diri sejati mereka, tetapi berapa banyak filem yang menunjukkan orang yang menemukan diri sejati mereka dalam kerja yang produktif? Tidak banyak, dan ini sebuah kerugian, kerana dunia perniagaan dan industri adalah di mana kebanyakan dari kita menjalani hidup kita. Seperti banyak karya sastera, Hollywood memilih untuk watak penjahat mereka yang yang berusaha untuk mendominasi kedudukan sosial melalui mengejar kekayaan, prestij, dan kekuasaan. Tetapi urusan hal kapitalisma adalah lebih mengenai kesamarataan: Ianya tentang mencari makna dan kenikmatan dalam pekerjaan dan pengeluaran hasil.
Michael Moore tidak perlu bimbang sekiranya ada orang akan salah menafsirkan judul filemnya, “Capitalism: A Love Story,” kerana di Hollywood tak ada seorang pun yang mencintai kapitalisma. Ini adalah sesuatu yang sangat ralat – kerana Hollywood adalah salah satu contoh kejayaan terbesar kapitalisma. Hollywood membawa hiburan berkualiti tinggi kepada orang ramai dengan cara yang sama Henry Ford membawa kereta berkualiti tinggi kepada ramai manusia. Hollywood pandai memberitahu cerita namun ia belum menceritakan salah satu kisah yang terbesar dari kesemuanya, kisah tentang kapitalisma, sistem ekonomi yang paling manusiawi dan produktif yang dunia pernah ketahui.
Alex Tabarrok adalah seorang profesor ekonomi di George Mason University dan pengarah penyelidikan untuk Institut Bebas (Independent Institute). Beliau kerap menulis di blog ekonomi, MarginalRevolution.com
AkademiMerdeka.org ialah satu projek pendidikan ide-ide libertarianisme dalam Bahasa yang dijalankan oleh Atlas Global Initiative for Free Trade, Peace and Prosperity.
© 2012 AkademiMerdeka.org