Mitos Besar tentang Kebebasan
Terdapat suatu mitos yang tersebar meluas tentang istilah ‘kebebasan,’ satu reka cerita yang dihebahkan oleh ahli-ahli falsafah dari golongan ‘kiri’ dan ‘kanan,’oleh pihak konservatif, radikal, liberal moden dan liberal klasik.
Mitos ini bermula dengan sebuah pembezaan: ‘Liberty’ (kebebasan) mempunyai dua bentuk asas: negatif dan positif. Kebebasan negatif adalah tentang ketiadaan kekangan, halangan atau campur tangan pihak lain. Contohnya, seorang individu mempunyai kebebasan untuk memiliki harta – ini dikategorikan sebagai kebebasan negatif – jika orang lain tidak boleh mengambil hartanya atau campur tangan dalam cara dia ingin menggunakan hartanya. Sebaliknya, kebebasan positif pula adalah tentang kuasa atau keupayaan berbuat seperti yang dipilih seseorang, atau tentang kuasa untuk membuat sesuatu dengan autonomi. Seseorang individu bebas untuk berharta – difahami sebagai kebebasan positif – jika dia betul-betul memiliki dan mengawal sebilangan harta. Bill Gates dan saya mempunyai ‘kebebasan negatif’ untuk memiliki sebuah kapal layar tetapi hanya Gates yang mampu membeli kapal layar. Beliau berkemampuan untuk melakukan sesuatu yang saya tidak mampu, dan dalam erti kata itu, beliau lebih ‘bebas.’
Sekarang, mari kita melihat mitos tentang kebebasan. Mitos ini mengatakan bahawa kebebasan negatif ialah keprihatinan khusus para liberal klasik dan libertarian manakala kebebasan positif diambil berat oleh puak-puak Marxist, sosialis dan golongan liberal moden. Banyak golongan liberal klasik menolak kebebasan positif dengan mengatakan bahawa kuasa untuk melakukan apa-apa saja yang disukai atau untuk membuat keputusan autonomi, walau bagaimana berharga sekalipun, adalah bukan betul-betul suatu bentuk kebebasan. Jika ia betul, ini akan secara automatik memberikan lesen kepada kerajaan untuk bertindak sewenang-wenangnya dalam percubaan memaksa kita menjadi bebas. Secara kontras, banyak golongan Marxist yang merungut bahawa jika kebebasan itu hanya tentang ketiadaan campur tangan, jadi kebebasan itu akan menjadi tidak berharga atau bermakna. Kebebasan negatif, kata mereka, ialah kebebasan untuk menjadi miskin, menganggur, dan tidur di kaki lima awam. Golongan Marxist mungkin berkata, tiada sesiapa yang campur tangan dengan mereka yang tidak berumah, tetapi dia tidak bebas dari apa-apa sudut yang bermakna. Berkenaan isu-isu ini, pendapat pihak liberal klasik yang dipersoalkan adalah salah, begitu juga dengan golongan Marxist.
Isaiah Berlin ialah penyebar utama mitos ini, bahkan beliau juga mungkin orang yang memulakan mitos ini. Setelah membezakan antara kebebasan negatif dan positif, Berlin mendakwa bahawa kedua-dua konsep kebebasan itu bukan hanya kategori konseptual yang berbeza, tetapi juga konsep politik ideal yang berlawanan, dengan implikasi berkonflik tentang peranan dan skop kerajaan yang berpatutan. Sangkaan bahawa konsepsi kebebasan yang berbeza melahirkan rejim politik yang berlainan yang meletakkan isu semantik (‘Apakah itu kebebasan’) sebagai isu politik, di mana perdebatan bukan hanya tentang bagaimana mahu menggunakan bahasa tetapi bagaimana mahu memanfaatkan pasukan polis.
Mitos ini terus diulang kerana kedua-dua pihak dalam perdebatan ini membuat satu tanggapan serupa: Kebebasan – walau apapun makna sebenarnya –perlu dipromosikan oleh kerajaan secara langsung. Kedua-dua belah pihak bersetuju bahawa kerajaan berperanan mempromosikan kebebasan (dan tidak kira apa akhirnya rupa bentuk kebebasan itu), dan kedua-dua belah pihak setuju bahawa kerajaan patut mempromosikannya secara terus-terang.
Apabila kita mengatakan bahawa kerajaan patut mempromosikan nilai tertentu, ia patut melakukannya dengan secara langsung atau tidak langsung. Perbezaannya paling tepat digambarkan oleh satu analogi. Anggaplah bahawa anda berasa tugas kerajaan adalah untuk mempromosikan perdagangan. Sebuah kerajaan mungkin cuba mempromosikan perdagangan secara langsung dengan mewujudkan badan-badan korporat baru, menawarkan subsidi dan geran kepada syarikat-syarikat perniagaan, membekalkan perlindungan tarif, dan membeli produk-produk, atau secara tidak langsung, dengan membekalkan kerangka institusional asas (seperti kedaulatan undang-undang, demokrasi berperlembagaan berpewakilan, mahkamah-mahkamah, dan sebuah rejim hak pemilikan harta yang berfungsi dengan baik).
Berkenaan dengan tanggapan bahawa kerajaan patut mempromosikan kebebasan secara langsung, penting untuk kita putuskan jenis kebebasan yang lebih realistik, atau perkara yang lebih penting. Berdasarkan tanggapan ini, penentuan ‘kebebasan’ paling baik dianalisis sebagai “keupayaan untuk memilih dengan kuasa autonomi untuk diri sendiri” sebenarnya akan memberikan lesen kepada kerajaan untuk memaksa kita menjadi bebas.
Walau bagaimanapun, anggapan ini adalah tidak baik. Pengenalpastian peranan kerajan – atau mana-mana institusi lain – sebagai pelindung atau untuk mempromosikan kebebasan memerlukan argumen sebenar. Ia memerlukan kita meneliti bukti bersejarah, ekonomik, undang-undang dan sosiologikal bagi menentukan sebaik mana dan dalam cara apa kerajaan boleh melakukan kerja itu. Kerajaan memperoleh kerja mempromosikan kebebasan tertentu dalam cara tertentu hanya jika kerajaan itu paling sesuai bagi kerja itu.
Kebebasan Positif dan Negatif
Berlin mencipta terma perbezaan kebebasan ‘positif’ atau ‘negatif.’ (Bahkan, penggunaan istilahnya agak berbeza daripada cara kita mencirikan mereka di atas. Namun, istilah itu akan digunakan dalam cara yang sedikit berbeza daripada erti asal oleh Berlin) Perbezaan negatif /positif ini secara alamiah menunjukkan bahawa takrifan kebebasan negatif dan positif patut dihadkan, bersama, supaya terlalu banyak takrifan berbeza tidak terjadi. Bukan begitu. Berlin berkata bahawa sejarawan mendokumentasikan dua ratus cara untuk menggunakan istilah ini, dan beliau hanya menulis tentang sekitar dua takrifan penting. Di bawah disenaraikan beberapa cara yang telah kita lihat bagaimana orang menggunakan istilah ‘kebebasan.’
Kebebasan Negatif
(a) Hobbes menggambarkan kebebasan sebagai “ketiadaan halangan luaran.” [1] Pada pandangan Hobbes, apa-apa hambatan ialah penghalang kebebasan.
(b) Lebih khusus lagi, kita dapat mendefinisikan ‘kebebasan’ sebagai ketiadaan hambatan yang dipaksa oleh orang lain.
(c) Bahkan lebih khusus, kita dapat mendefinisikan ‘kebebasan’ sebagai tiada hambatan yang sengaja dipaksa oleh orang lain.
(d) Atau kita boleh mentakrifkan ‘kebebasan’ sebagai ketiadaan hambatan yang dipaksa oleh orang lain secara salah.
Berkenaan dengan konsepsi negatif kebebasan, hal ini akan menjadi isu kontingensi bersejarah sama ada kebebasan yang diberi menjadikan hidup lebih bahagia atau sihat atau kaya. Kebebasan negatif tidak terjamin untuk membuat hidup kita lebih baik, tetapi tidak juga dengan vitamin C, atau senaman – maka jaminan tentangnya bukan isu utama. Isu tentang kebebasan negatif lebih berkaitan tentang peluang yang boleh diberikan oleh kebebasan kepada orang ramai untuk membaiki hidup mereka, dan kurang tentang jaminan kepada kebebasan itu sendiri.
Meskipun kurang jaminan, sains sosial dan sejarah mungkin mendedahkan bahawa menghormati kebebasan negatif memiliki rekod kemampuan yang sengaja, lama dan berjaya untuk memperbaik kehidupan. Mungkin berlaku bahawa cara yang paling berkesan untuk mempromosikan kebebasan positif adalah dengan melindungi kebebasan negatif. Dalam sebarang kes, kita tidak dapat menyelesaikan debat tentang perkara yang dilakukan oleh kebebasan negatif untuk manusia dengan analisis konseptual sahaja. [2] Kita perlu menyiasat apa yang akan berlaku pada orang apabila kebebasan negatif selamat secara berpatutan, dan apa yang berlaku apabila ia tidak. Ertinya, jika anda ingin tahu betapa berharganya kebebasan negatif, anda perlu bangun dari kerusi rehat dan pergi periksa sendiri.
Kebebasan Positif
(e) Dalam nada yang lebih positif, kita boleh mendefinisikan kebebasan sebagai kuasa untuk melakukan apa-apa yang kita inginkan. Berlin akan menolak pernyataan ini sebagai analisis kebebasan politik (baik positif atau negatif), kecuali dalam kes di mana kurangnya ketidakmampuan seseorang disebabkan oleh orang lain. [3] Namun, jika ketidakmampuan tersebut tidak mempunyai kesan pada kebebasan politik, mereka kekal sebagai sebahagian daripada lanskap konseptual kebebasan positif.
Bahkan pada pandangan kebebasan yang berorientasikan kapasiti positif ini, kebebasan, tetap kekal sebagai hal kontingen sama ada meningkatkan kebebasan membuat hidup lebih baik. Sebagai anak-anak, bahkan sebagai orang dewasa, sesetengah kemahuan kita merosakkan diri, dan kuasa untuk memenuhi keinginan sendiri tidak semestinya baik bagi kita. Sama ada ia baik untuk kita akan bergantung pada sifat semula jadi keinginan kita dan pada peringkat kematangan kita. (Nota: Kita harus mengelakkan inferens bahawa jika kuasa memuaskan kehendak tertentu saya adalah buruk bagi saya, maka lebih baik bagi saya jika birokrat dan polis mempunyai kuasa untuk menghentikan saya daripada memuaskan keinginan ini).
Kita tidak boleh menyelesaikan sebarang perdebatan tentang apa-apa yang dilakukan oleh kebebasan positif untuk orang dengan analisis konseptual sahaja. Kita perlu menyiasat apa-apa yang terjadi pada orang ketika kebebasan positif hadir, dan apa yang berlaku apabila ia tidak ada. Dengan kata lain, jika anda ingin tahu betapa berharganya kebebasan positif, anda perlu turun padang dan memeriksanya. Kita dengan mudah dapat membayangkan sebuah dunia di mana orang banyak mempunyai kebebasan positif tetapi kekal sengsara. Namun, sebenarnya, mungkin saja ketika orang mempunyai kebebasan positif, mereka cenderung berasa bahagia. Bagaimanapun, falsafah tidak boleh menyelesaikan perdebatan ini.
(f) Memoralkan definisi terdahulu, kita dapat menganggap kebebasan sebagai kuasa untuk melakukan apa-apa yang betul.
(g) Atau kita boleh mentakrifkan ‘kebebasan’ sebagai kuasa untuk melakukan apa-apa yang betul, bebas daripada segala godaan untuk melakukan sebaliknya.
(h)Kita perhatikan kemungkinan seluruh keluarga konsepsi berkaitan yang membawa tafsiran; kebebasan merupakan kuasa untuk melakukan apa-apa yang kita inginkan, tanpa beban dikenakan pada diri (dengan kata lain – yang bebas daripada komitmen atau, lebih umum, tidak memerlukan perencanaan, janji , sejarah silam, dan konsep-konsep diri yang tidak lagi sesuai dengan apa-apa yang telah diri seseorang itu berubah menjadi).
Sebuah teka-teki canggung, dan tidak bermakna hanyalah teori, yang diserlahkan oleh konsep kebebasan positif. Yakni, kita boleh mempunyai pilihan sebenar dan masih dipatahkan oleh faktor-faktor seperti kekurangan penilaian merdeka atau kekurangan informasi tentang pilihan kita, tentang keupayaan kita, atau – dalam hal ini – atau tentang kesahan matlamat kita.
Kita mungkin ingin terlalu banyak, atau terlalu sedikit, untuk boleh menangani dunia pilihan kita seperti yang sedia wujud itu. Ringkasnya, bukan semua hambatan terhadap kebebasan bersifat luaran. Kebebasan psikologikal, dan bagaimana ia berkaitan dengan bentuk kebebasan yang lain ialah subjek bab terakhir buku baru kami, “A Brief History of Liberty” (Suatu Sejarah Ringkas Kebebasan).
Kita terus berbicara tentang kebebasan positif dan negatif, tetapi kita tetap sedar bahawa, sebagaimana yang ditekankan oleh Berlin dan pengkritiknya, kebebasan positif lawan negatif ialah dikotomi palsu. Kebebasan negatif dan positif boleh dipandang sebagai kelompok konsep yang berkaitan, dan ada konsep kebebasan seperti konsepsi kebebasan Philip Pettit iaitu yang tidak mendominasi dan melangkau apa-apa jenis kategori. [4]
Memilih sebuah Konsepsi
Orang menggunakan istilah ‘kebebasan’ untuk merujuk pelbagai perkara yang berbeza. Konsepsi tertentu yang sudah bertahan lama cenderung dihormati dan ‘bertahan lama’ kerana suatu sebab. Mereka memainkan peranan yang berbeza dan sering melengkapi dalam pemikiran rasional. Terdapat nilai dalam mengenal pasti intipati yang dikongsi oleh pelbagai konsepsi ini, tetapi ada juga banyak keuntungan daripada kesedaran tentang perbezaan-perbezaannya. Setiap kebebasan ini ialah sesuatu yang diperjuangkan orang bagi sesuatu tujuan yang baik. Salah satunya berkaitan dengan kebebasan dalam semua konteks, tetapi keprihatinan yang kita mahu tandakan dengan menggunakan perkataan hanya berkaitan, tetapi tidak serupa.
Sesetengah ahli teori berfikir bahawa satu set minimal kebebasan negatif yang terpelihara ialah segala yang kita perlukan untuk memulakan sebuah masyarakat yang, dari generasi ke generasi, menghasilkan keuntungan eksplosif dalam kebebasan positif. Ahli teori lain mencari jaminan dan tidak menemuinya dalam sistem kebebasan negatif belaka. Saya mungkin bebas daripada campur tangan kerajaan, bebas daripada penindasan oleh sistem kasta yang kaku, dan seterusnya, tetapi saya mungkin tetap tidak mampu berbuat banyak kerana saya miskin.
Isu-isu demikian adalah nyata, maka ia memalukan jika membiarkan perbahasan tentang kesan nyata kebebasan negatif itu berubah menjadi sebuah pertikaian terminologikal. Mungkin, sebagai fakta sebenarnya, kebebasan negatif sering membawa kepada kemiskinan. Bagaimana kita akan tahu? Memanipulasi definisi tidak akan memberitahu kita banyak. Tujuan mentakrifkan istilah adalah bukan untuk memotong melainkan untuk memudahkan perdebatan: tidak menetapkan bahawa kebebasan negatif membawa, dengan definisi, ke arah kemakmuran, tetapi cukup tepat untuk membuat pertanyaan dapat dijawab. Sebagai contoh, di mana ada hambatan lebih sedikit untuk mencari pekerjaan pilihan seseorang (sekatan penghijrahan lebih sedikit, lebih sedikit perlesenan, atau syarat-syarat keahlian kesatuan pekerja), adakah bilangan penganggur akan lebih sedikit? Jika demikian, maka kita dapat menyimpulkan (bukan dalam cara ahli logik menyimpulkan data tetapi lebih kepada cara seorang saintis berhati-hati menyimpulkan hubungan kausal dari keteraturan empirik) bahawa kebebasan negatif dalam hal itu, membebaskan secara positif. Kita boleh mengajukan soalan yang jelas tentang kesan daripada bentuk-bentuk khusus dari kebebasan negatif, seperti kebebasan daripada sekatan perdagangan atau daripada agama yang dimandatkan negara. Jika kita dapat mendokumentasi tren-tren, membuat perdebatan itu kurang tentang sama ada sesuatu tren itu benar dan lebih lanjut tentang mengapa dunia kadang-kadang berangkat dari situ, kita telah membuat kemajuan dalam menurunkan hambatan untuk memahami – iaitu apa-apa yang kita harapkan secara realistik daripada falsafah.
Peranan Kerajaan
Hanya dengan mengakui kebebasan positif sebagai spesies berharga dari genus kebebasan kita tidak menyebabkan kita komited kepada sebarang pandangan tertentu tentang rejim mana yang boleh mempromosikannya dengan paling baik. Kita berkongsi keprihatinan Berlin tentang memberikan izin kepada kerajaan untuk melakukan apa-apa yang diperlukan untuk mempromosikan kebebasan positif. (Dalam dunia nyata, untuk memberi para pegawai kerajaan kuasa untuk melakukan perkara ‘x’ adalah untuk berharap bahawa para pegawai akan menggunakannya untuk melakukan ‘x’, dan mengetahui bahawa, tidak kira siapa yang benar-benar akhirnya memegang jawatan tersebut, orang tersebut akan patuh pada kata-kata untuk melakukan ‘x’, dan kemudiannya dia akan menggunakan kuasa untuk keperluan sendiri). Tiada konsep kebebasan yang dibahas tadi mensyaratkan bahawa kerajaan berperanan memastikan kebebasan jenis ini. Mendefinisikan istilah tidak boleh menyelesaikan peranan tepat kerajaan sebagai pelindung atau promoter jenis kebebasan tertentu.
Apa-apa pun yang ingin dilakukan oleh Constant dan Berlin dengan memberikan amaran bahawa pelbagai konsepsi kebebasan juga ialah cita-cita politik yang berbeza, nilai yang boleh diambil bukan bahawa konsepsi kebebasan yang berbeza secara automatik diterjemahkan kepada mandat kerajaan yang berbeza, tetapi lebih kerana konsepsi naif tentang apa yang mungkin atau apa yang menjadi taruhan boleh menyebabkan orang terlalu yakin akan kemungkinan mencapai keputusan dengan mencipta kuasa politik untuk mendapat keputusan tersebut secara paksa.
Banyak orang berfikir bahawa tugas kerajaan adalah untuk memastikan bahawa kita mencapai tahap kebebasan yang memuaskan. Namun, terdapat perbezaan antara ‘menjamin’ sebagai menjadikan keadaan tidak dapat dielakkan (seperti ketika ahli ekonomi mengatakan bahawa membuat upah minimum berganda dua akan menjamin peningkatan pengangguran) dengan ‘menjamin’ seperti ketika kerajaan menyatakan keinginan atau hasrat yang kukuh. Jelasnya, menjamin sesuatu dalam erti yang terakhir ini tidak ada jaminan dalam erti pertama. Bayangkan sebuah dunia di mana setiap kali kerajaan menjamin bahawa manusia akan mencapai tahap kesejahteraan tertentu, sebuah iblis jahat memastikan (jaminan dalam erti lain) bahawa manusia tidak boleh. Di dunia itu, jika anda ingin orang menjadi kaya, anda tidak mahu masalah jaminan. Anda akan membenarkan orang menjadi sangat susah, kerana itu akan menjadi satu-satunya peluang mereka untuk makmur di dunia yang dikuasai syaitan.
Tentu saja, kita tidak hidup di dunia setan jahat, jadi mungkin itu tidak relevan. Namun, banyak faktor nyata yang boleh mengganggu, mengkorup, atau menyesatkan rencana terbaik dan menyesatkan jaminan. Oleh sebab itu, membayangkan dunia tanpa rasuah dan kesan-kesan yang tidak sengaja – seperti yang suka dilakukan oleh beberapa ahli teori -tidak lebih menarik daripada membayangkan sebuah dunia iblis yang jahat. Kita perlu menyemak sebaik mana jaminan undang-undang berjalan di dunia kita. Kita ingin kerajaan mengeluarkan jaminan hanya setakat mana jaminan sebegitu berjalan.
Hanya begitu banyak kesan praktikal bergantung pada bagaimana kita mendefinisikan istilah kita. Sebaliknya, banyak bergantung pada apa yang kita ingin dari kehidupan dan dari komuniti kita – sama ada kita ingin bebas berdiri atau jatuh kerana kemampuan kita sendiri, atau adakah kita ingin bebas daripada risiko dan kos yang datang bersama dengan tanggungjawab peribadi. Banyak bergantung pada seberapa kuat dan tidak terbatas kita ingin kerajaan kita jadi, yang sebahagian ternyata bagaimana keyakinan kita yang akan digunakan oleh, daripada melawan, anak-anak kita.
Kami memikirkan bahawa kedua-dua kebebasan negatif dan positif adalah penting. Hal-hal kebebasan negatif penting kerana ia adalah amat efektif, jika tidak sempurna, cara bagi mempromosikan kebebasan positif. Hasil kebebasan berfikir, tentang kebebasan berpersatuan, tentang pembahagian kerja dalam syarikat dan penkhususan peranan yang berlaku di sekitar firma ialah masyarakat menjadi web kompleks kerjasama yang tidak dapat dibayangkan; bergerak semakin jauh daripada kecukupan diri individu. Walaupun hal ini kedengaran agak paradoks, ini sebenarnya sumbangan kepada kebebasan positif, kerana, ketika peranan tertentu dalam masyarakat menjadi berlebihan sehingga tidak diperlukan, individu tertentu semakin kurang bergantung pada pembekal perkhidmatan tertentu yang diberikan. Kebebasan dalam erti positif dapat dan kadang-kadang tidak berkembang seiring dengan meningkatnya kompleksiti web kebergantungan. A Brief History of Liberty adalah satu cerita tentang prasyarat tentang pilihan nyata yang datang bersama secara perlahan.
Nota
[1] Thomas Hobbes, Leviathan. Indianapolis: Hackett (1994): 79. Konteksnya adalah tentang gambaran Hobbes tentang hambatan untuk Hak Alam sebagai kebebasan orang untuk melakukan apa-apa yang difikirkan mereka sebagai paling kondusif untuk mempertahankan hidup.
[2] Kita mengiktiraf kemungkinan bahawa analisis konseptual saja mungkin dapat mewujudkan nilai intrinsik suatu jenis kebebasan yang diberikan itu.
[3] Berlin mengatakan hal ini dalam perbincangan kebebasan negatif, tetapi ia tidak pernah menyarankan akan mengkategorikan ketidakmampuan sebegitu sebagai kurangnya apa-apa jenis kebebasan.
[4] Pettit, Philip (1997) Republikanisme: A Theory of Freedom and Government (Sebuah Teori tentang Kebebasan dan Kerajaan). New York: Oxford University Press.
AkademiMerdeka.org ialah satu projek pendidikan ide-ide libertarianisme dalam Bahasa yang dijalankan oleh Atlas Global Initiative for Free Trade, Peace and Prosperity.
© 2010 AkademiMerdeka.org