21/07/2010

Legasi Bastiat: Apa yang dapat dan tidak dapat dilihat (Bhgn 7)

Sebagai menyambut ulang tahun kelahiran Frederic Bastiat (lahir 30 Jun 1801), www.AkademiMerdeka.org mengusahakan penterjemahan berkala karya penting beliau bertajuk “What Is Seen and What Is Not Seen?”. Di bawah ialah penterjemahan bahagian ketujuh.

Terjemahan oleh NOOR AMIN BIN AHMAD, Ahli Bersekutu di Institute for Democracy and Economic Affairs (www.IDEAS.org.my), Malaysia. Beliau pernah menerima biasiswa Frederic Bastiat untuk menghadiri kursus musim panas anjuran Cato University di San Diego, California.

Sekatan Perdagangan
Tuan Pelindung (1) (M. Charles Dupin yang memberikan gelaran ini) menggunakan masa dan modalnya untuk menukar benih di tanahnya menjadi besi. Oleh kerana alam lebih bermurah hati berbanding rakyat Belgium, mereka menjual besi kepada rakyat Perancis dengan harga yang lebih baik berbanding Tuan Pelindung, dengan maksud lain semua rakyat Perancis boleh mendapatkan kuantiti besi dengan tenaga kerja yang kurang dengan membelinya daripada orang Flanders. (2)

Maka, bertindak melalui kehendak peribadi, mereka menggunakan sepenuhnya kelebihan situasi tersebut, dan setiap hari kita dapat melihat ramai pembuat paku, pekerja logam, pembuat troli, mekanik, pembuat keluli dan pembajak sama ada pergi sendiri atau menghantar perantara ke Belgium untuk mendapatkan bekalan besi. Tuan Pelindung sangat tidak menyukai hal ini.

Idea pertama beliau ialah dengan menghentikan perkara ini melalui campur tangan secara langsung. Paling tidak inilah yang beliau dapat lakukan kerana dia sendiri mengalami kerugian. Katanya “saya akan mengambil carbine (3) saya. Saya akan letakkan empat pistol di pinggang saya, saya akan isikan penuh kotak katrij saya, membawa bersama pedang saya, dan sebaik saja semuanya lengkap, saya akan ke sempadan. Di sana saya akan bunuh mana-mana di kalangan mereka yang berani datang untuk mendapatkan keuntungan selain saya. Itu akan memberikan mereka pengajaran!”.

Semasa hendak bertolak, Tuan Pelindung terfikir beberapa perkara yang menyebabkan kemarahannya kian membuak. Beliau berkata kepada dirinya: Pertama sekali, barangkali semua pembeli besi, sama ada rakan senegara dan musuhku akan bertindak balas dan daripada membiarkan diri mereka terbunuh, mereka akan membunuhku. Tambahan pula, jika semua hambaku digunakan, seluruh sempadan tidak dapat dikawal. Akhirnya, seluruh proses ini akan memberikan kos yang banyak kepadaku, dan ia tidak berbaloi.

Tuan Pelindung berasa sedih, mahu meletak jawatannya dan menjadi bebas seperti orang lain sebelum tiba-tiba mendapat satu idea.

Beliau ingat bahawa ada satu jabatan perundangan yang bagus di Paris. “Apakah undang-undang itu?” dia tertanya. Ia adalah satu pendekatan di mana apabila ia telah dikuatkuasakan, sama ada ia bagus atau tidak, semua orang perlu mematuhinya. Untuk melaksanakan undang-undang ini, sebuah badan kepolisan perlu dibentuk dan untuk memastikan ia wujud, tenaga kerja dan peruntukan akan diambil daripada negara.

Jika saya dapat memastikan kilang di Paris mengatakan dengan baik: “Besi yang dijual oleh orang Belgium dilarang”, saya akan mendapat hasil berikut: Kerajaan akan menggantikan jumlah kecil hamba yang saya mahu hantar ke sempadan dengan dua puluh ribu orang yang sebahagiannya anak-anak mereka yang saya mahu halang itu.
Kemudian, untuk memastikan dua puluh ribu orang pegawai kastam ini sentiasa sihat dan bersemangat, dua puluh lima juta francs akan diambil daripada musuh-musuhku tadi. Dengan cara ini, sistem perlindungan akan lebih mudah dicapai dan aku tidak perlu mengeluarkan belanja, tidak terdedah dengan kekasaran perantara-perantara tersebut; aku juga boleh menjual besi mengikut harga aku serta bergembira melihat orang-orang besar kita ditipu secara memalukan. Itu akan mengajar mereka untuk terus mendakwa diri mereka adalah penganjur dan penanda kemajuan di Eropah. Ini adalah langkah yang bijak dan berbaloi untuk cuba dilakukan!

Tuan Perlindungan kemudian pergi ke jabatan perundangan. (Mungkin lain kali saya akan menceritakan kisah gelapnya, rundingan curang di sana; untuk kali ini saya hanya mahu menceritakan langkah yang beliau ambil secara terbuka dan boleh dilihat ramai). Beliau telah membentangkan kepada mereka yang terutama, para ahli dewan undangan dengan hujah berikut:
“Penjual dari Belgium menjual besi di Perancis dengan harga 10 francs, menyebabkan saya juga terpaksa menjualnya pada harga yang sama. Saya mahu menjualnya pada harga 15 francs tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana bingung memikirkan besi penjual dari Belgium ini. Guballah satu undang-undang yang mengatakan: “Besi dari penjual Belgium tidak boleh lagi dijual di Perancis”.

Dengan itu saya boleh menaikkan semula harga besi saya sebanyak 5 francs, dengan kesan berikut: “Untuk setiap satu ratus kilogram besi yang saya jual kepada orang awam, daripada 10 francs, saya akan mendapat 15 francs; saya akan lebih cepat kaya; saya akan lebih banyak mengeksploitasi lombong saya dan mengambil lebih ramai orang bekerja. Pekerja, termasuk saya, akan berbelanja lebih, untuk faedah besar para pembekal kita yang berada jauh di sekitar. Semua pembekal ini, dengan pasaran yang besar, akan memberi lebih pesanan kepada industri, dan secara bertahap aktiviti ini akan berkembang seluruh negara. Ratusan sen yang anda akan jadikan pendapatan saya ini tidak ubah seperti batu yang dilontar ke dalam tasik, akan menyebabkan nilai infiniti kepada pusaran bulat yang bergerak pada jarak jauh di setiap arah”.

Tertarik dengan wacana ini, teruja mengetahui bahawa sangat mudah untuk menaikkan kekayaan seseorang dengan cara menggubal undang-undang, para penggubal undang-undang boleh mengundi untuk membuat sekatan. “Apakah semua percakapan tentang kerja dan simpanan ini?” mereka berkata. “Bukankah keperitan untuk meningkatkan kekayaan negara dapat dibuat dengan satu perintah undang-undang?”.

Hakikatnya, undang-undang mempunyai kesannya tersendiri sebagai dijangka oleh Tuan Perlindungan, tetapi ia juga mempunyai hal lain; dan untuk memberikan keadilan kepadanya, semua alasan yang diberikan beliau tidak salah sepenuhnya, cuma ianya tidak lengkap. Ketika beliau meminta keistimewaan, beliau menjelaskan kesan apa yang dapat dilihat sambil mengabaikan apa yang tidak dapat dilihat. Beliau hanya menunjukkan dua pihak, walhal jumlah sebenarnya ialah tiga. Menjadi tugas kita untuk memperbaiki apa yang telah dibentangkan sama ada secara tidak sengaja atau dirancang ini.

Ya, sebanyak 5 francs yang akan disalurkan kepada poket Tuan Perlindungan melalui penggubalan undang-undang ini yang mengabsahkan kelebihan buatnya dan kepada siapa yang mendapat kerja disebabkannya. Jika perintah ini menjadikan 5 francs ini turun dari langit, kesan baik ini tentulah tidak dapat dibalas dengan mana-mana kesan buruk. Bagaimanapun, 100 sous yang misteri ini tidak jatuh dari langit, tapi daripada poket pembuat paku, pekerja logam, pembuat troli, mekanik, pembuat keluli dan pembajak, atau dalam kata lain, daripada James Goodfellow yang membayarnya tanpa mendapat walau satu milligram besi meskipun beliau telah mengeluarkan 10 francs. Ini sekaligus mengubah persoalan kita kerana jelas sekali keuntungan Tuan Perlindungan ini berlaku dengan kerugian James Goodfellow, dan apa juga yang Tuan Perlindungan dapat lakukan dengan 5 francs untuk mendorong industri tempatan juga dapat dilakukan oleh James Goodfellow. Batu dibaling ke satu tempat di tasik tersebut kerana undang-undang menyekat ia daripada dibaling di tempat lain.

Jadi, apa yang tidak dapat dilihat ini telah menyeimbangkan apa yang dapat dilihat tadi; dan hasil daripada seluruh operasi ini ialah ketidakadilan, ditambah merosakkan dengan penggunaan undang-undang.

Tetapi ini bukan segalanya. Saya telah nyatakan bahawa ada pihak ketiga yang selalunya tertinggal di balik bayangan. Saya mesti menunjukkan di sini bahawa pihak ketiga ini wujud dan dia dapat menunjukkan kepada kita kerugian kedua di sebalik 5 francs itu. Dengan itu kita akan dapat melihat kesan menyeluruh operasi ini.

James Goodfellow ada 15 francs, hasil daripada kerjanya (dengan anggapan bahawa kita berada pada masa beliau masih bebas). Apakah yang beliau lakukan dengan 15 francs ini? Beliau boleh membeli satu topi wanita dengan harga 10 francs, harga yang sama beliau (atau perantaranya membayar) untuk seratus kilogram besi daripada penjual Belgium. Beliau masih ada baki 5 francs. Beliau tidak membuang baki ini ke dalam sungai, tetapi (dan ini ialah apa yang tidak dapat dilihat) beliau memberinya kepada mana-mana pembuat atau siapa juga dalam bentuk pertukaran yang memuaskan kedua-dua pihak misalnya, kepada penerbit buku Wacana tentang Sejarah Universal oleh Boussuet (4).

Demikian, beliau telah mendorong industri tempatan dengan jumlah 15 francs:
i. 10 francs untuk penjual topi wanita
ii. 5 francs untuk penerbit

Dan untuk James Goodfellow, beliau boleh mendapat dua perkara yang memuaskan:
i. seratus kilogram besi
ii. buku

Kini datang undang-undang.

Apa yang terjadi kepada James Goodfellow? Apa kesan kepada industri tempatan?

Dengan memberi 15 francs kepada Tuan Pelindung untuk mendapatkan seratus kilogram besi, James Goodfellow tidak mempunyai apa-apa kini kecuali kegunaan besi tersebut. Beliau tidak dapat menikmati buku atau apa juga perkara lain yang sama nilainya dari sudut wang. Beliau kehilangan 5 francs. Anda bersetuju dengan ini; anda tidak mungkin tidak bersetuju; anda tidak mungkin gagal melihat bagaimana sekatan perdagangan hanya akan meningkatkan harga dan pembeli kehilangan perbandingannya.

Tetapi mereka menyatakan industri tempatan juga mendapat perbezaannya.

Tidak, industri tempatan tidak mendapatkannya kerana ia adalah undang-undang dan dorongan yang berlaku adalah sama sebagaimana jumlah sebelumnya, 15 francs.

Hanya setelah undang-undang, 15 francs milik James Goodfellow menjadi metalurgi, sedangkan sebelum undang-undang digubal, jumlah yang sama dibelanjakan untuk topi wanita dan penerbitan.

Desakan yang Tuan Pelindung mungkin amalkan untuk dirinya sendiri di sempadan dan beliau mempunyai undang-undang yang bertindak untuk dirinya boleh dihakimi dengan cara berbeza menurut perspektif moral.

Memang ada orang yang berfikir bahawa tindakan menjarah akan dianggap bermoral sebaik saja ia dijadikan undang-undang. Secara peribadi, saya tidak dapat membayangkan situasi yang lebih buruk. Walau-apapun, satu perkara pasti, iaitu kesan ekonominya sama.

Anda boleh melihat persoalan ini daripada apa juga perspektif yang disukai, tetapi jika anda menelitinya secara objektif, anda akan dapat melihat bahawa tidak ada yang baik boleh dihasilkan melalui tindakan menjarah sama ada secara sah menurut undang-undang atau tidak. Kita tidak menafikan Tuan Perlindungan atau industrinya, atau jika anda berharap industri tempatan membuat untung sebanyak 5 francs. Tetapi kami pasti bahawa ia juga akan menyebabkan dua kerugian: satu kepada James Goodfellow, yang membayar 15 francs untuk sesuatu yang beliau biasa mendapatkannya dengan harga 10 francs; dan yang lain ialah industri tempatan yang tidak lagi menikmati perbandingannya. Buatlah pilihan anda berdasarkan dua kehilangan yang dibayar melalui keuntungan yang kita persetujui. Apa yang anda tidak pilih adalah tidak kurang daripada kerugian pasti (dead loss).

Moral: menggunakan paksaan tidak menghasilkan apa-apa, tetapi memusnahkan. Demi syurga! Jika menggunakan paksaan bermaksud untuk menghasilkan sesuatu, Perancis sepatutnya menjadi lebih kaya daripada apa yang ada.

Nota:
(1) Dalam bahasa Perancis, “M.Prohibant”: terma ironi untuk pelindung, seperti yang dinyatakan Bastiat, oleh Charles Dupin, juga secara kasarnya boleh diterjemah sebagai “Tuan Penyekat Perdagangan” atau “Tuan Pelindung”.
(2) Orang Flanders adalah penduduk di Utara Belgium.
(3) Sejenis senjata api seperti pistol rifle.
(4) Jacques Bénigne Bossuet (1627-1704), biskop Condom and of Meaux, pemidato mimbar yang terkenal pada zamannya, pidatonya sempena pemakaman ahli keluarga diraja adalah contoh bijak gaya klasik dan kekuasaan Perancis. Sebagai guru kepada pewarisnya, anak kepada Louis XIV, beliau menulis Histoire universelle, karya klasik yang dipelajari oleh kanak-kanak sekolah di Perancis untuk beberapa generasi. Pendirian kuat beliau menentang ajaran Protestan serta kepimpinannya yang menghidupkan pergerakan Gaul (nota:Gallican) yang mendorong kemerdekaan kepada Gereja Katolik Perancis menjadikan dirinya penting dalam sejarah gereja, juga ketokohan dan sastera.

Tag .

Kenali AkademiMerdeka.org

AkademiMerdeka.org ialah satu projek pendidikan ide-ide libertarianisme dalam Bahasa yang dijalankan oleh Atlas Global Initiative for Free Trade, Peace and Prosperity.

Langgan feed RSS

Ikuti melalui Twitter

Sertai kami di Facebook

Kenali kami sepenuhnya »

© 2012 AkademiMerdeka.org