KOTA Washington DC dipenuhi pemimpin dunia dan pegawai-pegawai tinggi daripada pelbagai negara sepanjang sidang kemuncak keselamatan nuklear yang berlangsung pada pertengahan April 2010. Seperti yang diketahui, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir.
Dalam perbualan saya dengan para pegawai yang menyertai rombongan Perdana Menteri, rata-rata mereka berpuas hati dengan pencapaian negara. Pertemuan Najib dengan Presiden Barack Obama juga merupakan satu pertemuan simbolik yang bersejarah.
Walaupun saya berada di Amerika Syarikat (AS) selama lebih kurang tiga minggu, saya tidak mengikuti sidang kemuncak itu sepenuhnya. Masa tiga minggu itu saya gunakan untuk menyelesaikan beberapa urusan lain, dan juga untuk menyaksikan sendiri satu fenomena besar dalam politik Amerika sekarang.
Fenomena itu dikenali sebagai Tea Party Movement, iaitu satu pergerakan rakyat untuk membantah beberapa tindakan kerajaan Amerika.
Saya sempat mengikuti demonstrasi aman anjuran Tea Party Movement di tengah-tengah kota Washington dan berbual dengan beberapa aktivisnya.
Tea Party Movement bermula pada awal 2009. Ia tidak mempunyai struktur organisasi yang jelas. Semuanya adalah usaha rakyat peringkat akar umbi secara tersendiri.
Nama pergerakan ini diambil daripada satu peristiwa penting dalam sejarah Amerika. Pada tahun 1770-an, semasa beberapa bandar utama di Amerika masih lagi menjadi koloni Britain, rakyat Amerika membantah percubaan Britain mahu mengenakan cukai terhadap mereka. Alasan mereka ialah mereka tidak mempunyai wakil dalam Parlimen Britain. Maka tidak ada cukai boleh dikenakan tanpa ada perwakilan untuk menyuarakan hak mereka dalam Parlimen.
Di bandar Boston, pemberontak Amerika memusnahkan bekalan teh yang dicukai oleh penjajah Britain sebagai tanda bantahan. Peristiwa itu dikenali sebagai Boston Tea Party dan ia menyemai benih kemerdekaan Amerika.
Kini nama Tea Party Movement digunakan untuk melambangkan bahawa ia adalah protes besar-besaran rakyat, bukan untuk kepentingan politik mana-mana pihak atau individu.
Tea Party Movement di Amerika kini berpegang kepada dua prinsip utama iaitu konsep kerajaan terhad dan juga pasaran bebas. Ini juga merupakan dua daripada prinsip yang dipegang oleh kami di IDEAS.
Aktivisme Tea Party Movement moden bermula dengan bantahan terhadap Presiden Bush (dari parti Republikan) yang mahu menyelamatkan syarikat-syarikat tertentu semasa kegawatan ekonomi baru-baru ini. Aktivis Tea Party Movement terus membantah tatkala Presiden Barack Obama (dari parti Demokrat) meluluskan pakej rangsangan ekonomi sebaik sahaja menjadi Presiden.
Dengan itu, Tea Party Movement tidak terikat kepada parti politik tertentu. Sebaliknya, mereka berpegang kepada prinsip yang jelas dan menyokong atau membantah berdasarkan prinsip.
Keyakinan terhadap prinsip kerajaan terhad dan pasaran bebas bermaksud bahawa ada perkara yang memang perlu dilakukan oleh kerajaan tetapi banyak perkara lain yang lebih wajar untuk kerajaan tidak campur tangan. Jika diharapkan kerajaan melakukan segala-galanya, maka sudah pasti para pemimpin negara tidak cukup tangan dan tenaga.
Dalam konteks Tea Party Movement, mereka berhujah bahawa bukan peranan kerajaan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat yang gagal dalam perniagaan. Syarikat yang gagal seharusnya dibiarkan bankrap kerana itu sebahagian daripada proses pembersihan dalam sistem ekonomi liberal.
Mereka juga berhujah bahawa pakej stimulus ekonomi yang diluluskan oleh Obama adalah kesilapan besar. Akibat daripada tindakan Obama itu, Amerika kini mempunyai hutang yang amat besar. Bagi aktivis Tea Party Movement, tindakan Obama tidak boleh dibela kerana ia menyebabkan kadar cukai terpaksa dinaikkan untuk satu jangka masa yang amat panjang untuk membayar balik hutang Obama. Malahan hutang tersebut akan ditanggung oleh cucu cicit mereka lama selepas Obama keluar dari Rumah Putih.
Setelah bersama-sama dengan demonstrasi Tea Party Movement di Washington, saya menyertai dua persidangan lain di Miami. Persidangan pertama dianjurkan oleh Atlas Economic Research Foundation dan satu lagi oleh Heritage Foundation.
Seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, sistem ekonomi yang lebih liberal amat penting jika Malaysia mahu menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Untuk memastikan agenda ini diterima rakyat, maka satu usaha pendidikan yang berterusan mesti dijalankan. Insya-Allah saya harap usaha kecil kami melalui AkademiMerdeka.org, dan dengan bantuan Atlas, kami boleh menyumbang ke arah ini.
Tetapi pertubuhan yang lebih selari dengan Tea Party Movement ialah Heritage Foundation. Ia merupakan sebuah kumpulan pemikir yang banyak mencorakkan politik Amerika sejak tahun 1970-an.
Heritage biasanya dikaitkan dengan parti Republikan. Saya berpandangan bahawa sebenarnya Heritage yang mempengaruhi pemikiran dalam parti Republikan, bukan sebaliknya. Mereka menjalankan kajian dan seterusnya mengusahakan program-program pendidikan dan melobi agar idea mereka menjadi arus perdana. Hasilnya banyak idea-idea bernas yang mereka suarakan diterima oleh para pemimpin parti Republikan.
Satu perkara yang saya amat kagum ialah betapa Heritage dan juga Atlas enggan menerima dana daripada kerajaan atau agensi-agensi pemerintah Amerika. Tea Party Movement juga begitu.
Bagi mereka, adalah salah dari segi moral jika wang cukai yang dikumpul oleh kerajaan disalurkan kepada mereka kerana sudah pasti ada pembayar cukai yang tidak menyokong agenda atau prinsip mereka. Mereka lebih rela berpenat lelah mengumpul dana daripada penyokong mereka kerana tidak mahu berkompromi dalam soal moral.
Dalam jangka masa yang singkat sahaja Tea Party Movement telah berjaya meraih sokongan yang amat besar daripada rakyat Amerika. Sumbangan aktivis pertubuhan seperti Heritage dan Atlas juga membantu kejayaan pergerakan itu, walaupun mungkin secara tidak langsung.
Ada penganalisis politik mengatakan bahawa pergerakan itu adalah kumpulan politik yang paling kuat di Amerika sekarang. Salah seorang aktivis yang saya temui di Washington mengatakan bahawa pergerakan ini amat berjaya sehingga populariti Obama menjunam hasil kempen mereka.
Sekiranya pengaruh Tea Party Movement terus meningkat, tidak mustahil kedudukan Obama dan parti Demokrat boleh terancam dalam pilihan raya akan datang.
—
Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS). Rencana ini pertama kali disiarkan di Utusan Malaysia pada 28 April 2010
