Pada 27 Mac setiap tahun kebelakangan ini, manusia di seluruh dunia akan meraikan “Earth Hour” ( Sejam Dunia), sebuah acara global yang dianjurkan oleh WWF. Pada jam yang telah ditetapkan pada hari tersebut, bandar-bandar besar di seluruh dunia akan menutup suis semua lampu dan pencahayaan yang kurang penting untuk melahirkan perasaan khuatir mereka terhadap cabaran-cabaran alam semulajadi yang dihadapi oleh planet kita.

Malaysia juga akan memainkan peranannya dalam acara ini dengan menutup lampu-lampu pada bangunan-bangunan ikon negara seperti Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur.

Penyokong-penyokong kempen ini menekankan bahawa signifikasinya terletak pada cara ia menjadi simbol kepada kesediaan umat manusia untuk melawan perubahan cuaca.

Tetapi betulkah perkara itu sebenarnya yang disimbolkan oleh Earth Hour?

Bersempena dengan Earth Hour, banyak syarikat-syarikat perniagaan dan organisasi telah merancang berbagai-bagai acara dan aktiviti. Agensi Angkasa Negara (Angkasa), misalnya, menggalakkan rakyat untuk membuat tanglung-tanglung ‘Earth Hour’ dan mencipta rekabentuk-rekabentuk dengan mengatur lilin. Keseluruhan suasana Earth Hour ialah suatu kemeriahan yang menyeronokkan – dan tentunya tidak dapat disangkal bahawa memegang lilin dalam gelap
adalah sangat cantik jika diambil gambar dengan kamera.

Namun begitu, malangnya, peserta-peserta akan mengabaikan makna yang lebih mendalam tentang Earth Hour. Mereka akan ambilmudah perkara tersebut kerana memadamkan suis lampu selama satu jam hanyalah suatu cara yang senang dan menghiburkan untuk mengambil bahagian dalam satu kempen yang mulia.

Sebaik saja Earth Hour berakhir, lampu-lampu akan dipasang semula, kereta-kereta akan dihidupkan untuk perjalanan pulang ke rumah – dan di rumah, manusia akan tentunya mengambilmudah nilai pada pelbagai alat-alat kelengkapan moden mereka: daripada peti sejuk kepada televisyen; kipas-kipas dan pendinginhawa hingga ke komputer. Apa yang akan gagal mereka tanggapi, yang paling mustahak sekali, adalah bentuk sebenar kempen alam sekitar yang mereka sokong.

Pergerakan aktivis alam persekitaran mendakwa mereka bekerja untuk faedah umat manusia, kerana, seperti yang diberitahu kepada kita, keseluruhan bangsa manusia akan menderita jika kita gagal menjaga kebajikan planet kita. Apa yang ramai orang tidak hargai ialah, sikap
melecehkan kemajuan teknologi yang ditunjukkan aktivis alam sekitar – dan secara amnya, hampir kesemua proses yang mengeluarkan karbon – adalah satu sikap yang tidak serasi dengan kebajikan kehidupan umat manusia.

Sementara hampir semua orang pada hari ini akrab dengan mesej untuk menyelamatkan planet ini, terlalu sedikit daripada kita yang menyedari apa yang boleh sejarah ajarkan kita tentang nilai tamadun perindustrian. Bahkan hanya sebuah kajian yang cukup santai tentang
sejarah manusia menunjukkan kepada kita bahawa kehidupan sebelum revolusi industri terdiri dari kesusahan tak berhujung, kerja keras fizikal yang melelahkan, kebuluran dan penyakit berjangkit malar. Dengan munculnya revolusi industri, kehidupan berjuta-juta manusia – sekurang-kurangnya dalam dunia yang bertamadun maju- menjadi lebih lama, lebih mewah, dan jauh lebih menyenangkan.

Hari ini, kita mempunyai para perekacipta perintis besar zaman itu untuk kita berterima kasih atas keselesaan yang kita nikmati dalam kehidupan sehari-hari kita. Disebabkan para pemikir dan pengeluar inilah – iaitu para ahli sains, perekacipta, jurutera, dan pengusaha
industri – yang hidup sebelum kita berusaha untuk memperbaiki kehidupan mereka dengan mengubah dan mengolah kembali alam persekitaran mereka barulah kita sekarang boleh menikmati keselesaan berkenderaan dan kemudahan rumah yang terang dengan jentikan suis yang mudah.

Ini adalah konteks lebih luas yang keseluruhannya diabaikan dalam perbincangan tentang kesan persekitaran hari ini. Mungkin tahap penggunaan tenaga kita yang tinggi menyumbang kepada iklim yang hangat; mungkin juga tidak – tetapi fakta yang harus kita ingat adalah
bahawa tanpa kesan-kesan kehidupan masyarakat perindustrian moden, kematian dan penderitaan adalah sangat pasti.

Mesej yang dihantar Earth Hour adalah sederhana dan menggoda. Tetapi sebelum bergegas untuk menyertai parti tersebut, berapa ramai orang akan berhenti sejenak untuk bertanya pada diri sendiri apakah rupa kehidupan tanpa lampu, elektrik, dan teknologi – bukan untuk
satu jam – tetapi untuk satu minggu, sebulan penuh, atau bahkan sehari? Berapa ramai orang akan mempertimbangkan kesan yang sukar sebuah kehidupan tanpa pencahayaan yang cekap dan selamat; tanpa ketuhar microwave dan gas dan air panas; tanpa walau satu, produk menjimat waktu dan tenaga kerja yang menjadi ciri tamadun industri moden?

Simbolisme yang dikaitkan dengan Earth Hour adalah sesungguhnya sangat kuat. Gambaran berkesan pada keadaan ruang langit Kuala Lumpur yang indah terang kemudian secara harafiahnya diterjunkan kepada kegelapan – tidak perlu disebutkan juga gambar-gambar satelit sebuah planet yang gelap, seperti bumi tanpa penghuni – sepatutnya meninggalkan kita dengan tiada sangsi lagi akan makna sebenar Earth Hour. Sebaliknya, jauh sekali dari menerbitkan rasa memberontak marah, mahupun rasa peduli, Earth Hour mempertontonkan kepada
kita satu imejan yang merisaukan – manusia-manusia yang gembira untuk memadamkan cahaya kemajuan tamadun kita.

Sejak dari zaman dahulu lagi simbolisme yang diletak pada citra cahaya adalah dari kegelapan menuju kepada yang lebih baik, lebih maju dan kepada pencerahan. Earth Hour secara simboliknya memadamkan cahaya, dan ini adalah serangan yang terlalu terang-terangan
terhadap pencapaian manusia dan kemuliaan peradaban industri. Sesiapapun yang benar-benar peduli dengan kesejahteraan umat manusia harus menolak untuk menyokong acara seperti ini – dan menolak sepenuhnya ideologi alam persekitaran yang menjadi asas kepada acara ini.

Kwek Kon-Yao adalah Fellow di Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).

Rencana ini pertama kali diterbitkan di The Malaysian Insider pada 26 Mac 2010.