Berikutan perletakan jawatan seorang penerbit di NTV7, Joshua Wong pada bulan April 2010 dan di tengah-tengah tuduhan-tuduhan campurtangan politik dan penapisan media, para penyokong Wong telah begitu cepat mempertahankan beliau atas nama kebebasan bersuara.

Laman web kempen PerlembagaanKu oleh Majlis Peguam bahkan mengutip petikan dari Artikel 10(1)(a) dari Perlembagaan Persekutuan, yang mengatakan “setiap rakyat mempunyai hak kepada kebebasan bersuara dan berekspresi”.

Pendirian teguh atas prinsip kebebasan bersuara ini adalah patut dipuji, dan ia memberi kita peluang yang baik untuk memeriksa sifat-sifat dan asal-usul kebebasan bersuara dengan lebih dekat.

Apakah sebenarnya maksud istilah “kebebasan bersuara”?

“Kebebasan bersuara” merujuk kepada hak seseorang individu untuk mengekspresikan idea-ideanya tanpa campurtangan kerajaan.  Hak kepada kebebasan bersuara adalah, sebenarnya, suatu kesinambungan kepada hak terhadap kebebasan.  Jika seorang manusia itu mempunyai hak berfikir untuk dirinya sendiri dan untuk menggunakan mindanya semahunya, maka dia juga haruslah mempunyai hak untuk mengekspresikan buah fikirannya dan idea-idea dalam bentuk yang konkrit, samada dalam bentuk penulisan ataupun lisan.

Seperti dikatakan oleh Onkar Ghate: “Kebebasan berfikir adalah aspek kerohanian [mental] kepada hak terhadap kebebasan, kebebasan bersuara ialah aspek fizikalnya; satu mewakili minda, satu lagi mewakili jasad”.

Tetapi kenapa kita perlu pedulikan kebebasan bersuara ini pada mulanya? Apakah kepentingannya kepada kehidupan kita?

Untuk menghargai pentingnya kebebasan bersuara, kita perlu terlebih dulu mengenalpasti peranan besar yang dimainkan oleh ilmu pengetahuan dalam kehidupan kita.  Hidup kita dibentuk oleh apa yang kita tahu, dari segi idea-idea yang kita percayai menentukan tindakan-tindakan yang kita ambil.

Apa yang perlu kita buat dengan kehidupan kita? Apakah arah tujuan yang perlu kita capai? Bagaimana kita hendak mencapai cita-cita ini? Ini semua adalah soalan-soalan yang kita tidak dapat jawab tanpa pengetahuan yang berkaitan.  Daripada hal memetik buah beri kepada membina bangunan pencakar langit di bandar-bandar kita, hampir kesemua perkara yang kita usahakan sebagai umat manusia bergantung kepada ilmu pengetahuan yang telah kita perolehi.

Tetapi untuk mendapatkan ilmu pengetahuan kita memerlukan proses pembelajaran dan pertanyaan yang aktif.  Seseorang hanya boleh melakukan perkara ini jika mindanya adalah bebas untuk menyiasat apa-apa persoalan, bebas untuk menilaikan semua fakta, dan bebas untuk mengikut mana-mana cara penyelidikan walau ke manapun arah kesimpulannya nanti.

Di dalam konteks inilah kebebasan bersuara mewakili satu nilai yang sangat genting.  Jika ilmu pengetahuan itu penting, maka kebenaran adalah penting. Jika kebenaran itu penting, kita mestilah bebas untuk mencari dan menjumpainya dengan menggunakan penalaran minda kita sendiri.

Kerajaan boleh saja dengan secara paksa menekan sesebuah pendapat; ia boleh memaksa ke atas kita apa yang ia rasakan benar atau salah – tetapi kecuali jika kita melihat sendiri kebenaran sesuatu idea, tiada jumlah paksaan akan membuat minda manusia berfungsi.

Kebebasan bersuara juga memainkan peranan yang sangat penting dalam melindungi individu-individu yang mempunyai pendapat berbeza.  Apabila pendapat golongan majoriti adalah tersilap, ianya adalah wajib untuk mereka dalam kelompok minoriti untuk menyuarakan kebenaran. Tanpa perlindungan ini, melalui kebebasan bersuara, kebenaran tidak akan terbukti.

Oleh kerana terdapat beberapa salahfaham tentang konsep hak pada waktu ini, satu penjelasan diperlukan.  Hak kepada kebebasan bersuara tidaklah bersamaan dengan hak kepada sesebuah forum atau platform di mana seseorang boleh mengutarakan pendapatnya.

Sebuah syarikat suratkhabar persendirian atau rumah percetakan mempunyai hak untuk memutuskan pandangan berbentuk bagaimana yang ia mahu sokong, cadangkan dan cetak.

Jadi, sebagai contoh, The Malaysian Insider mempunyai hak untuk menapis komentar-komentar dan memutuskan yang mana satu untuk diterbitkan. Ia juga mempunyai hak untuk memutuskan samada mahu atau tidak menerbitkan apa yang saya tulis (walaupun saya tentu menginginkan penjelasan sekiranya tulisan saya ditolak)

Untuk memaksa pemilik mana-mana organisasi media untuk menyiarkan pendapat yang berbeza dengan pendirian pemilik tersebut adalah sama dengan merampas kebebasan bersuaranya.

Sebagai sebuah organisasi intelektual, IDEAS mempunyai kepentingan yang besar dalam isu kebebasan bersuara.  Pekerjaan kami adalah secara harafiahnya idea-idea kami; tanpa kebebasan untuk menyuarakan idea-idea ini, kami tidak akan dapat bertahan.

Namun begitu,mereka yang tergiur untuk memikirkan kebebasan bersuara hanyalah satu isu yang penting kepada golongan intelektual sahaja berbuat begitu dengan membahayakan mereka sendiri.  Pengalaman berjuta-juta orang yang telah menderita di bawah pemerintahan diktator-diktator sepanjang sejarah manusia menunjukkan kepada kita bilamana kebebasan untuk berfikir disekat, kebebasan itu sendiri akan hilang juga.

Maka ianya amatlah penting untuk setiap warga yang berfikir betul-betul memahami dan mempertahankan prinsip kebebasan bersuara.  Jika kebebasan bersuara harus mati di dalam negara kita, kesemua perkara lain yang kita sayangi akan hilang bersamanya.


Kwek Kon-Yao adalah Fellow di Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS). Artikel ini telah pertama kali diterbitkan di The Malaysian Insider pada 4 Mei 2010.

FacebookTwitterGoogle+Share