01/02/2011

Legasi Bastiat: Apa yang dapat dan tidak dapat dilihat (Bhgn 11)


Sebagai menyambut ulang tahun kelahiran Frederic Bastiat (lahir 30 Jun 1801), www.AkademiMerdeka.org mengusahakan penterjemahan berkala karya penting beliau bertajuk “What Is Seen and What Is Not Seen?”. Di bawah ialah penterjemahan bahagian kesebelas.

Terjemahan oleh NOOR AMIN BIN AHMAD, Ahli Bersekutu di Institute for Democracy and Economic Affairs (www.IDEAS.org.my), Malaysia. Beliau pernah menerima biasiswa Frederic Bastiat untuk menghadiri kursus musim panas anjuran Cato University di San Diego, California.

Berjimat dan Bermewah

Bukan hanya dalam hal perbelanjaan awam apa yang dapat dilihat menggerhanakan apa yang tidak dapat dilihat. Dengan mengabaikan separuh bayangan ekonomi politik, fenomena apa yang dapat dilihat dan tidak dapat dilihat ini menyebabkan kesalahan piawaian moral. Ia memimpin negara untuk melihat kepentingan moral dan kepentingan material mereka sebagai bertentangan. Apa yang lebih tragis dan menawarkan hati daripadanya? Perhatikan:

Tidak ada ayah kepada satu keluarga yang tidak mengambilnya sebagai tanggungjawab untuk mendidik anak mereka disiplin, pengurusan yang baik, ekonomi, jimat cermat, bersederhana dalam berbelanja.

Tidak ada agama yang tidak mengecam lagak dan kemewahan. Semuanya baik dan bagus; tetapi dari sudut lain, apa yang lebih popular daripada semua perumpamaan ini:

“Mengumpul (harta) bererti mengeringkan darah rakyat”

“Kemewahan yang besar hanyalah untuk keselesaan sebilangan kecil”

“Mereka yang tamak akan merosakkan diri, tetapi mereka memperkayakan negara”

“Dengan lebihan (pendapatan) orang kayalah, roti untuk orang miskin dibuat”

Ada percanggahan ketara antara idea berkaitan moral dan ekonomi di sini. Berapa ramai orang yang terkemuka, selepas ditunjukkan konflik ini, melihatnya dengan ketenangan! Inilah apa yang gagal saya fahami selama ini; kerana untuk saya seseorang boleh mengalami tidak lebih daripada keperitan berbanding melihat dua kecenderungan berlawanan dalam jiwa seseorang. Kemanusiaan boleh disusutkan oleh satu keadaan ekstrim dengan satu  keadaan ekstrim yang lain. Jika berhemat, mereka akan berada dalam situasi kemahuan yang amat sangat; sekiranya tamak, mereka akan berada dalam situasi kemuflisan moral!

Nasib baik, kepercayaan popular tentang penjimatan dan kemewahan ini ditunjukkan dengan jelas secara salah, dengan hanya mengambil kira hanya kesan segera yang dapat dilihat dan tidak menghitung kesan lain yang tidak dapat dilihat. Mari kita cuba memperbaiki pandangan yang tidak lengkap ini.

Dengan pewarisan pusaka ayah, Mondor dan adiknya Ariste membahagikannya dengan setiap mereka mendapat 50 ribu francs setahun. Mondor berbelanja dengan pelbagai cara. Dia seorang pemboros. Dia menggantikan perabot di rumahnya beberapa kali dalam setahun, menukar ganti alat kenderaan setiap bulan; orang bercakap tentang alat yang baik sehingga dia membelanjakan wangnya dengan cepat; ringkasnya secara perbandingan, dia membuatkan Balzac dan Alexander Dumas jatuh sakit.

Banyak kata-kata pujian muncul di sekelilingnya! “Ceritakan kepada kami tentang Mondor! Panjang usia Mondor! Beliau ialah pemberi kepada orang yang bekerja. Beliau ialah malaikat yang baik kepada rakyat! Benar dia tenggelam dalam kemewahan; Dia percikkan lumpur kepada pejalan kaki dan maruah manusia secara umumnya terjejas kerana itu. ….Namun kenapa begitu? Jika dia tidak menjadikan dirinya berguna dengan berusaha untuk dirinya, dia melakukan itu untuk kekayaan dirinya. Dia meletakkan wang ke dalam kitarannya. Lamannya sentiasa dipenuhi oleh para pedagang yang meninggalkannya dengan rasa puas hati. Bukankah orang mengatakan bahawa wang syiling itu bulat maka ia boleh berpusing?”

Ariste pula mengambil rancangan hidup yang berbeza. Sekiranya dia bukan seorang egois, sekurang-kurangnya dia seorang individualis; kerana dia seorang yang rasional dalam berbelanja, hanya mencari hiburan yang sederhana dan munasabah, memikirkan masa depan anaknya; dalam kata lain, dia menyimpan.

Dan sekarang saya mahu anda mendengar apa yang dikatakan orang ramai tentangnya!

“Apa gunanya orang kaya yang kedekut ini? Tidak dinafikan ada sesuatu yang menarik dan menyentuh dalam kesederhanaan hidupnya; tambahan pula, dia seorang yang berperi-kemanusiaan, baik dan bermurah hati. Tetapi dia terlalu berkira. Dia tidak menggunakan seluruh pendapatannya. Rumahnya tidak selalu bercahaya dan dikunjungi orang ramai. Apakah yang boleh disyukuri oleh pembuat permaidani, pembuat kereta kuda, penjual kuda dan pembuat gula-gula melaluinya?

Penghakiman yang memusnahkan moral ini ditemukan pada fakta bahawa ada satu perkara yang menyilaukan mata: perbelanjaan seorang abang yang tamak; dan satu lagi yang terlepas daripada pandangan mata: perbelanjaan yang sama atau lebih baik oleh adik yang berjimat.

Namun hal yang berlaku sangat diatur oleh Pencipta suci keteraturan sosial yang dalam kes ini, sebagaimana dalam hampir semua perkara, ekonomi politik dan moral, jauh daripada bertembung, wujud dalam harmoni, maka kebijaksanaan Ariste bukan sahaja lebih bernilai, bahkan menguntungkan berbanding kebodohan Mondor.

Dan bila saya berkata ia menguntungkan, saya tidak memaksudkan ia hanya lebih menguntungkan kepada Ariste, atau untuk masyarakat secara umumnya, tetapi lebih menguntungkan kepada pekerja hari ini, kepada industri pada zaman ini.

Untuk membuktikan ini, adalah perlu untuk diingatkan bahawa kesan tersembunyi daripada tindakan manusia yang tidak dapat dilihat oleh mata zahir.

Ya, ketamakan Mondor mempunyai kesan yang dapat dilihat: semua orang dapat melihat makanan, kenderaan, lukisan halus di siling, permaidani mahal, kegemilangan mahligainya. Semua tahu dia memiliki kuda terbaik dalam pertandingan. Makan malam yang disediakan di mahligainya di Paris telah memukau semua yang hadir, dan orang saling mengatakan antara satu sama lain: “Dia seorang yang baik kerana berbanding menyimpan untuk pendapatannya sendiri, dia membuat lubang dalam modalnya”. Ini adalah apa yang dapat dilihat.

Apa yang menjadi pendapatan Ariste tidak mudah dilihat daripada sudut pandang kepentingan pekerja. Bagaimanapun jika kita mengesannya, kita mesti memastikan diri kita bahawa semuanya, setakat sen terakhir, disalurkan kepada pemberian pekerjaan kepada pekerja, sama seperti pendapatan Mondor. Hanya terdapat perbezaan ini: perbelanjaan secara bodoh oleh Mondor pasti akan merosot secara berterusan sehingga mencecah pengakhirannya; perbelanjaan bijak oleh Ariste pula akan terus meningkat dari setahun ke setahun.

Sekiranya ini adalah kesnya, tentulah kepentingan awam sesuai dengan moral.

Ariste berbelanja untuk dirinya dan rumahnya sebanyak 20 ribu francs setahun. Jika ini tidak cukup untuk membuatkan dia gembira, dia tidak layak dipanggil bijak. Dia tersentuh dengan kekurangan yang menimpa orang miskin; dia merasakan ianya satu tanggungjawab moral bagi mengurangkan bebanan mereka dengan memberi sumbangan sebanyak 10 ribu francs sebagai derma. Dia mempunyai rakan di  kalangan peniaga, penguasaha pembuatan dan peladang yang pada waktu ini berada dalam kesukaran kewangan. Dia mengambil maklum keadaan mereka dalam usaha untuk memberikan bantuan berhemat dan cekap dengan memperuntukkan sebanyak 10 ribu francs untuk tujuan ini. Akhirnya, dia tidak lupa bahawa dia memiliki anak perempuan yang perlu dia sediakan hantaran untuk mendapatkan seorang lelaki bagi memastikan masa depan anak perempuannya terjaga dan kerananya, dia memastikan dirinya bertanggungjawab menyimpan dan melabur sebanyak 10 ribu francs setahun.

Berikut adalah jadual bagaimana dia menggunakan pendapatannya:

Perbelanjaan peribadi 20 ribu francs
Derma 10 ribu francs
Bantuan kepada rakan 10 ribu francs
Simpanan 10 ribu francs

Jika kita menilai setiap perkara ini kita akan dapat melihat bahawa setiap sen-nya adalah untuk menyokong industri kebangsaan.

1.     Perbelanjaan peribadi. Ini mempunyai kesan yang sama kepada pekerja dan juga jurujual dengan belanja yang sama dibuat oleh Mondor. Ini sudah terbukti dengan sendirinya; tidak perlulah kita membincangkannya terlalu panjang.

2.     Derma. 10 ribu francs yang disalurkan untuk tujuan ini akan menyokong industri dengan jumlah yang sama; ia akan pergi kepada pembuat kek, pemotong daging, tukang jahit dan penjual perabot, kecuali jika roti, daging, pakaian tidak memenuhi keperluan Ariste secara langsung, tetapi kepada mereka yang dia gantikan. Ini adalah penggantian mudah seorang pengguna yang tidak memberikan kesan langsung kepada industri secara umumnya. Sama ada Ariste membelanjakan 100 sous atau meminta orang miskin membelanjakannya di tempatnya semua adalah sama.

3.     Bantuan kepada rakan. Rakan-rakan yang Ariste pinjamkan atau beri 10 ribu francs tidak menerimanya untuk disimpan mereka; itu bercanggah dengan hipotesis kita. Dia menggunakan wang ini untuk membeli barang dagangan atau membayar hutang mereka. Dalam kes pertama, industri didorong. Adakah sesiapa berani mengatakan bahawa lebih banyak diperolehi daripada pembelian kuda yang hebat oleh Mondor berbanding pembelian Ariste atau rakan-rakannya, semuanya pada kadar harga 10 ribu francs? Jika jumlah ini digunakan untuk membayar hutang, yang menyebabkan kemunculan pihak ketiga iaitu pemberi hutang yang akan mengendalikan 10 ribu francs ini, tetapi siapakah yang akan menggunakannya untuk sesuatu berkaitan perniagaannya, kilangnya atau eksploitasi sumber alam? Dia hanyalah orang tengah antara Ariste dan pekerjanya. Nama bertukar, perbelanjaan kekal termasuk dorongan kepada industri.

4.     Simpanan. Beginilah baki 10 ribu francs disimpan; dan disinilah, sudut pandang yang mendorong pekerja seni, industri dan pekerjaan melihat Mondor lebih baik daripada Ariste, meskipun secara moralnya Ariste telah menunjukkan bahawa dirinya lebih baik sedikit daripada Mondor.

Saya merasakan kesakitan fizikal yang sebenar apabila melihat kontradiksi yang berlaku antara dua hukum alamiah ini. Sekiranya manusia disusutkan untuk hanya memilih antara dua pilihan, satu yang akan menyakitkan kepentingannya dan yang lain keyakinannya, kita telah mengecewakan masa depannya. Mujur ianya tidak begitu. (1) Untuk melihat Ariste mendapatkan kembali kelebihan ekonomi dan moralnya, kita hanya perlu memahami pujukan yang diterima umum, yang tidak kurang benarnya meski terpapar paradoks: untuk menyimpan ialah untuk berbelanja.

Apa yang tidak dipersetujui Ariste dalam menyimpan sebanyak 10 ribu francs? Adakah dengan menyembunyikan 2 ribu keping ratusan-sou dalam satu lubang di tamannya? Tidak, sudah tentu tidak. Dia mahu meningkatkan modal dan pendapatannya. Kesannya, wang yang tidak digunakannya untuk membeli barang kepuasan dirinya diperuntukkan untuk membeli tanah, rumah, pinjaman kerajaan, syarikat industri; atau mungkin dilaburkan kepada broker atau jurubank. Mengikuti wang melalui semua penggunaan hipotesis ini dan anda akan yakin bahawa melalui orang tengah penjual dan peminjam, ia akan disalurkan untuk menyokong industri secara pasti sebagaimana jika Ariste, mengikuti abangnya dengan menukarnya untuk perabot, barang kemas dan kuda.

Tatkala Ariste membeli tanah atau pinjaman dengan nilai 10 ribu francs, dia melakukannya kerana merasakan ia tidak perlu membelanjakan wang ini. Ini kelihatan menjadi sebab kenapa anda menentangnya.

Tetapi dengan nilai yang sama orang yang menjual tanahnya atau gadaiannya akan membelanjakan wang tersebut untuk tujuannya sendiri.

Maka, perbelanjaan akan dibuat dalam mana-mana kes, sama ada oleh Ariste atau oleh mereka yang mendapat wangnya.

Daripada sudut pandang kelas pekerja dan sokongan yang diberikan kepada industri, terdapat satu perbezaan antara amalan Ariste dan Mondor. Perbelanjaan Mondor telah ditunaikan olehnya dan sekelilingnya; ini adalah apa yang dapat dilihat. Sementara Ariste, dikendalikan sebahagiannya oleh orang tengah dan pada sela masa dan jarak tertentu, ialah apa yang tidak dapat dilihat. Tetapi faktanya, untuk sesiapa yang boleh menghubungkan kesan kepada sebab, yang tidak dapat dilihat adalah realiti sebagaimana yang dapat dilihat. Apa yang terbukti ialah dalam kedua-dua kes tersebut, wang bergerak dan tidak ada yang kekal dalam dompet kedua-dua mereka, yang bijak atau yang tamak.

Justeru adalah salah untuk mengatakan bahawa sikap berjimat merosakkan industri. Ia memberi manfaat sama sebagaimana kemewahan.

Tetapi sejauh manakah ia menunjukkan kelebihan sekiranya dalam pemikiran kita, berbanding menyekatnya dalam waktu yang berlalu, merangkumi tempoh masa yang lebih panjang!

10 tahun telah berlalu. Apa yang telah menjadikan Mondor, nasibnya dan kehebatan popularitinya? Semuanya lenyap. Mondor telah rosak; jauh daripada memberikan 50 ribu francs kepada ekonomi setiap tahun, dia mungkin menjadi bebanan awam. Dalam apa juga kes dia tidak lagi menjadi kegembiraan penjual kedai; dia tidak lagi dianggap sebagai orang yang mempromosi seni dan industrinya; dia tidak lagi menjadi kebaikan kepada pekerja, tidak kepada pewarisnya yang ditinggalkan dalam kesulitan.

Berakhirnya tempoh 10 tahun itu juga Ariste bukan sahaja akan terus meletakkan semua pendapatannya dalam kitaran tetapi juga menyumbang kepada kenaikan pendapatan dari setahun ke setahun. Dia menambah kepada modal negara untuk mendanai perbelanjaan gaji; dan kerana permintaan terhadap pekerja bergantung kepada jumlah dana ini, dia telah menyumbang kepada kemajuan peningkatan ganjaran kepada kelas pekerja. Sekiranya meninggal dunia, dia akan meninggalkan anak yang akan menggantikannya untuk tugas memajukan dan membentuk peradaban.

Secara moralnya, kelebihan berhemat berbanding bermewahan tidak dapat ditandingi. Adalah bersifat memujuk untuk berfikit bahawa, dari sudut pandang ekonomi, ia mempunyai kelebihan yang sama untuk sesiapa juga, tidak berhenti setakat kesan segera tentang apa pun, tetapi pergi kepada penelitian sehingga kesan akhirnya.

Nota kaki:

(Lihat nota 5 Supra – editor)

Tag .

Kenali AkademiMerdeka.org

AkademiMerdeka.org ialah satu projek pendidikan ide-ide libertarianisme dalam Bahasa yang dijalankan oleh Atlas Global Initiative for Free Trade, Peace and Prosperity.

Langgan feed RSS

Ikuti melalui Twitter

Sertai kami di Facebook

Kenali kami sepenuhnya »

© 2012 AkademiMerdeka.org