Esok ada pilihanraya. Adakah pengundi-pengundi tahu apa yang mereka akan lakukan? Menurut ahli-ahli ekonomi tipikal dan ramai pengamat sains politik – jawapannya adalah “Tidak, tapi ia tidak penting”. Bagaimana pula ia jadi tidak penting? Hujah utama ialah kesilapan pilihan orang ramai akan saling membatalkan.[1] Sebagai contoh, sebilangan orang akan menyangka faedah proses penghijrahan adalah kecil, dan yang lain pula akan menyangka faedahnya adalah terlalu besar. Tetapi asalkan kepercayaan purata para pengundi adalah benar, ahli politik akan menang dengan mempromosikan polisi-polisi penghijrahan berdasarkan kepada fakta.
Contoh ini sangat menenangkan hati, tetapi adakah ia betul? Adakah purata kepercayaan para pengundi adalah benar? Dalam buku saya yang bertajuk serupa (Mitos Pengundi yang Rasional) terbitan Princeton University Press, saya mengkaji banyak bukti dan membuat kesimpulan bahawa jawapannya seterang-terangnya adalah tidak. Seperti kelkatu yang terbang menuju cahaya panas, pengundi-pengundi selalu tergravitasi kearah kesilapan-kesilapan yang sama. Mereka tidak saling membatalkan kesilapan, tetapi menyebabkannya menjadi lebih besar.
Di dalam esei ini, saya memfokuskan kepada salahfaham orang ramai tentang pengetahuan ekonomi. Kerana saya memang seorang ahli ekonomi, tetapi sebab yang lebih utama adalah ekonomi merupakan contoh jelas sebuah subjek yang penting dari segi politik (“It’s the economy, stupid,”) tetapi sangat kurang difahami. Saya merasakan kesilapan orang ramai ini menjangkau lebih jauh dari ruang ekonomi. Terdapat bukti meyakinkan yang mana pendapat masyarakat awam terhadap isu seperti toksikologi dan penyakit barah adalah ‘biased’(berat sebelah)[2]. Dalam dasar luar negeri, juga serupa, kita mempunyai kesan “rally around the flag”, kecenderungan rakyat untuk menyokong peperangan demi peperangan sebaik sahaja ia diumumkan. Tetapi walaupun jika seorang pengundi biasa boleh faham secara sempurna setiap isu-isu yang bukan berkaitan ekonomi, salah tanggapan tentang ekonomi itu sendiri akan membawa masalah yang serius untuk demokrasi.
MENGENALI TANGGAPAN-TANGGAPAN YANG SALAH INI
Misalkan bahawa salah seorang sarjana mempertahankan pendapat bahawa keyakinan pengundi purata tentang perkara ‘X’ adalah benar, dan seorang yang lain menyangkal hal itu. Untuk perdebatan mereka masuk akal, kedua belah pihak harus mempunyai pengetahuan tentang (a) apa yang pengundi-pengundi biasa percayai, dan (b) kepercayaan mana adalah benar. Bagaimana kita boleh ke dasar perbezaan pendapat semacam ini?
Agak mudah untuk mendapat tahu apa yang pengundi kebanyakan percayai. Terdapat banyak hasil kajian bermutu tinggi boleh didapati. Perkara yang sukarnya adalah mencari cara untuk meng’gred’kan kepercayaan-kepercayaan atau pendapat-pendapat pengundi umum ini – untuk mencari kayu pengukur di mana pendapat-pendapat ini boleh dibandingkan.
Cara paling mudah dan jelas ialah dengan membandingkan kepercayaan pengundi dengan fakta yang boleh dicari. Kita boleh Tanya pengundi-pengundi untuk beritahu kita berapa peratuskah dari belanjawan persekutuan digunakan untuk bantuan antarabangsa, dan kemudian kita boleh bandingkan jawapan mereka dengan angka sebenar. Kajian-kajian yang menggunakan pendekatan ini mendapati pengundi-pengundi biasa sememangnya mempunyai kepercayaan yang aneh. Contohnya, Kajian Nasional tentang Pengetahuan Awam Mengenai Reformasi Kebajikan dan Belanjawan Persekutuan (The National Survey of Public Knowledge of Welfare Reform and the Federal Budget) mendapati bahawa 41% dari warga Amerika mempercayai bantuan antarabangsa adalah satu dari dua perkara terbesar dalam belanjawan persekutuan – dan 14% untuk Keselamatan Sosial (Social Security).
Kekurangan terbesar pendekatan ini adalah banyak persoalan menarik yang lain menjadi terlalu kompleks untuk diselesaikan dengan sebuah almanac. Tetapi terdapat satu cermin lain untuk membandingkan pendapat orang ramai ini. Kita boleh mencari orang-orang yang biasanya akan tahu jawapan sebenar, lalu bandingkan apa yang mereka fikirkan, kemudian periksa jika orang ramai bersetuju. Siapakah orang-orang yang sebegini? Calon yang paling jelas ialah pakar-pakar.[3]
Untuk lihat sekiranya pendapat umum tentang kesan-kesan ekonomi penghijrahan (immigration) adalah betul, contohnya, anda boleh tanya orang awam dan ahli ekonomi professional, dan perhatikan sekiranya secara purata, mereka bersetuju. Adakah ini ujian yang tidak akan gagal? Tidak; bahkan pakar-pakar pun pernah salah sebelum ini. Tetapi ianya sukar untuk menolak anggapan kuat bahawa jika para ahli dan orang awam tidak bersetuju, para ahlilah yang mungkin benar, dan orang awam mungkin salah. Lebih penting lagi, jika anda mempunyai sebab khusus untuk meragui objektiviti para ahli atau pakar, anda boleh mengawalnya. Kalau anda fikir yang gaji besar para ahli ekonomi membuatkan pendapat mereka jadi berat sebelah, misalnya, anda boleh periksa samada orang-orang biasa dan pakar-pakar berkongsi pendapat setelah membuat penyesuaian secara statistik untuk gaji mereka.
Inilah pendekatan saya gunakan untuk menganalisa set data terbaik yang tersedia tentang pendapat-pendapat ekonomi, iaitu Kajian tentang pendapat rakyat Amerika dan para ekonomis tentang Ekonomi (the Survey of Americans and Economists on the Economy). Penemuan menyeluruh: ahli-ahli ekonomi dan orang awam mempunyai kepercayaan yang berbeza secara radikal terhadap isu-isu ekonomi.[4] Jika dibandingkan dengan para pakar, orang-orang kebanyakan adalah lebih sangsi dan skeptikal terhadap pasaran, terutamanya pasaran antarabangsa dan pasaran buruh, dan adalah lebih pesimis tentang sejarah masa lalu, masa sekarang dan masa depan ekonomi.
Ketika orang awam melihat konspirasi perniagaan, para ahli ekonomi melihat tawaran dan permintaan. Ketika orang awam melihat persaingan dari orang asing itu menghancurkan orang tempatan, para ahli ekonomi melihat keajaiban kelebihan komparatif. Ketika orang awam melihat pembuangan pekerja atau ‘downsizing’ yang berbahaya, para ahli ekonomi melihat pembahagian semula kekayaan yang meningkatkan tenagakerja. Ketika orang awam melihat kemerosotan, para ahli ekonomi melihat kemajuan. [5].
Sementara pengkritik terhadap profesyen ekonomi suka meletakkan perkara-perkara ini berpunca daripada kesenangan hidup ahli ekonomi, keselamatan pekerjaannya dan/atau ideologi sayap kanan, fakta-fakta tidak menyebelahi mereka. Membuat data kawalan untuk pendapatan, pertumbuhan pendapatan, keselamatan pekerjaan, jantina, dan bangsa hanya mengurangkan sedikit saja jurang antara pendapat awam-pakar. Dan, kerana kebiasaannya para ahli ekonomi adalah ahli moderat Parti Demokrat, membuat data kawalan untuk pengenalan parti dan ideology menjadikan jurang pendapat awam-pakar sedikit bertambah. Ahli ekonomi memikirkan yang pasaran-pasaran beroperasi dengan baik bukan kerana ideologi sayap kanan ekstrim mereka, tetapi tanpa dikesankan oleh pendirian lemah sayap kiri mereka.
Dari satu perspektif, kita harusnya sudah dapat menduga penemuan ini dari awal lagi. Daripada zaman Adam Smith, jika tidak lebih awal lagi, ahli ekonomi telah mengeluh bahawa dasar ekonomi dibuat atas kefahaman yang salah, dan cuba untuk membuat kelainan dengan membetulkan prejudis-prejudis anak-anak murid mereka tentang pasaran, perdagangan antarabangsa dan sebagainya. Para ahli ekonomi mengekalkan tradisi ini hingga ke hari ini bila mereka mengajar siswa-siswa, menulis untuk bacaan audiens popular, atau bila berbual-bual sesama sendiri. Dalam dekad-dekad kebelakangan ini, bagaimanapun, kajian ekonomi telah didasarkan pada andaian sebaliknya iaitu bahawa kepercayaan pengundi kebanyakan adalah benar. Apa yang mengejutkan tentang hasil penyelidikan saya adalah bahawa saya bandingkan ekonomi tradisional yang lama dengan penyelidikan ekonomi baru ini, dan yang menangnya adalah pandangan tradisional. [6]
-bersambung
Diterjemah dari:
http://www.cato-unbound.org/2006/11/06/bryan-caplan/the-myth-of-the-rational-voter/
AkademiMerdeka.org ialah satu projek pendidikan ide-ide libertarianisme dalam Bahasa yang dijalankan oleh Atlas Global Initiative for Free Trade, Peace and Prosperity.
© 2012 AkademiMerdeka.org