Sistem ekonomi pasaran, ataupun lebih dikenali sebagai “kapitalisme” telah pun wujud sejak kemunculan ketamadunan manusia. Ini dapat dibuktikan dalam penulisan Aristotle yang memerhatikan kegiatan penduduk bandar (“polis” di Yunani) yang memperdagangkan lebihan (surplus) hasil rumah tangga dengan rumah tangga yang lain, dengan itu dapat memenuhi kekurangan (defisit) keperluan masing-masing. Perlaksanaan sistem ekonomi ini amat bergantung kepada persekitaran yang bebas di mana rumah tangga dibenarkan memiliki harta peribadi, pada masa yang sama campur tangan kerajaan juga tidak digalakkan demi membiarkan unit rumah tangga menjalankan fungsi masing-masing dalam memenuhi keperluan penduduk di bandar. Di kalangan negara-negara bandar Yunani, Athens yang melahirkan falsafah agung merupakan sebuah bandar yang mengamalkan sistem ekonomi pasaran dan menjalankan perdagangan dengan negara-negara bandar lain.
Namun begitu, kebanyakan golongan pemikir termasuk Aristotle sendiri yang memainkan peranan sebagai penasihat pentadbiran dan pemerintahan telah mengkritik ekonomi pasaran dari sudut pandang moral. Malah guru Aristotle iaitu Plato telah pun mencadangkan pemansuhan sistem pemilikan harta peribadi dalam karya agung beliau Republic. Dalam utopia idaman Plato yang bernama “Kallipolis”, golongan pemerintahan iaitu “raja filasuf” (philosopher-kings) dilarang sama sekali memiliki harta peribadi, termasuk golongan askar yang menjadi pelindung bandar. Plato melihat harta peribadi merupakan punca sikap penting diri sendiri dan menyebabkan penduduk bandar tidak dapat bersatu akibat daripada terdapatnya perbezaan harta benda yang dimiliki oleh “saya” dan “dia”. Kesimpulan Plato ialah manusia hanya akan mencapai kesempurnaan apabila memperolehi keperibadian unggul (virtue), di mana ini hanya akan dicapai apabila tiadanya harta peribadi. Dalam dunia idaman Plato, harta benda adalah dikongsi bersama dan aktiviti penghasilan dan penggunaan juga tidak boleh dibiarkan kepada pilihan peribadi. Aktiviti ekonomi haruslah bertujuan untuk bersara hidup sendiri dan juga golongan pemerintah yang tidak memiliki harta peribadi. Plato telah mengkritik ekonomi kapitalisme berdasarkan moraliti.
Walaupun kurang radikal berbanding dengan gurunya, Aristotle tetap bersifat skeptikal dengan kemungkinan manusia mencapai kesempurnaan moral di bawah sistem ekonomi bebas. Aristotle membuat perbezaan di antara aktiviti ekonomi (“oikonomia”) yang merupakan aktiviti memenuhi keperluan rumah tangga dan “chrematistic” yang merupakan aktiviti mengejar keuntungan. Menurut Aristotle, aktiviti ekonomi merupakan aktiviti semula jadi manakala aktiviti “chrematistic” adalah tidak semula jadi. Aktiviti ekonomi adalah selaras dengan tuntutan moral manusia kerana ia memenuhi keperluan manusia untuk hidup dengan baik, aktiviti penghasilan, pertukaran dan penggunaan dilihat sebagai alat untuk mencapai tujuan kehidupan sempurna. Sebaliknya aktiviti “chrematistic” telah menjadikan wang sebagai tujuan, dan Aristotle melihatnya sebagai tidak bermoral. Pandangan Aristotle ini telah dipetik oleh Karl Marx pada 2000 tahun kemudian dalam kritikan dia terhadap “fetishisme wang”. Walau bagaimanapun, Aristotle tetap menyokong sistem ekonomi pasaran yang berasaskan pemilikan harta peribadi, ini disebabkan oleh pemilikan harta peribadi telah membolehkan manusia menjadi murah hati, melalui harta benda yang dimiliki manusia boleh memberi layanan yang baik kepada kawan dan tetamu. Secara keseluruhan Aristotle melihat ekonomi pasaran bermoral hanya apabila ia memenuhi tujuan yang lebih tinggi daripada kegiatan mencari keuntungan.
Falsafah Aristotle menjadi arus utama semasa Zaman Pertengahan di Eropah, malah fahaman falsafah Aristotelianisme telah disintesiskan dengan fahaman agama Kristian. Doktrin Kristian secara keseluruhan tidak menggalakkan aktiviti ekonomi yang bertujuan mencari keuntungan. Malah Nabi Isa a.s. telah berkata, “Kukatakan kepada kalian, sesungguhnya seekor unta lebih mudah memasuki lubang jarum daripada orang kaya masuk ke syurga.” Doktrin Kristian melihat pengumpulan harta peribadi yang banyak akan menyebabkan manusia mengejar kemewahan demi memenuhi nafsu, dengan itu terus melupakan ibadah dan akidah. Kapitalisme adalah tidak bermoral menurut Injil. Justeru itu tidak hairanlah ekonomi pasaran bebas adalah terpendam sepanjang Zaman Pertengahan, sebelum ia dihidupkan semula di negara-negara bandar di Itali seperti Venice dan Genoa yang menandakan bermulanya Zaman Renaisans.
Abad ke-18 telah menyaksikan kehidupan semula ekonomi pasaran, bukan sahaja amalan malahan golongan intelektual juga turut memberi justifikasi moral kepada pasaran. Punca sikap intelektual ini merupakan hasil daripada siri peperangan sepanjang abad ke-17 seperti Perang Tiga Puluh Tahun di Jerman dan Revolusi Puritan di England di mana perang agama telah memusnahkan kestabilan dan ketenteraman masyarakat, pada masa yang sama raja-raja kuku besi seperti Louis XIV di Perancis telah mengeksploit agama untuk mengukuhkan kuasa. Golongan intelektual di Perancis dan Britain melihat agama yang mendakwa membimbing manusia ke arah kesempurnaan moral bukan sahaja tidak dapat membentuk masyarakat yang tenteram dan aman, malah membawa kepada sikap fanatik dan keganasan. Golongan intelektual kini sama ada menggalakkan masyarakat mengejar kepentingan diri sendiri berdasarkan dua kesan baik yang mampu dicapai: satu ialah kegiatan yang tidak bertujuankan moral akan membawa kesan positif kepada masyarakat seperti “tangan ghaib” Adam Smith dan kegiatan tersebut berperanan membentuk moraliti perbadi seperti Montesquieu yang melihat ekonomi kapitalisme bermoral sebab “semangat perdagangan membawa semangat kehematan (berhemah), ekonomi, kesederhanaan, kerja, kebijaksanaan, ketenangan, tatacara dan perintah.”
Kejayaan ekonomi pasaran pada abad ke-19 telah menarik kritikan daripada intelektual sekali lagi. Kini ekonomi pasaran menerima kritikan daripada kedua-dua barisan kiri dan kanan. Dan semua kritikan tersebut berdasarkan moral. Barisan kiri yang merangkumi sosialisme dan komunisme melihat kapitalisme tidak bermoral kerana ia merupakan punca berlakunya ketidakadilan dan jurang sosial. Barisan kanan yang merangkumi konservatisme dan fasisme melihat kapitalisme tidak bermoral kerana ia menyebabkan manusia lebih mementingkan kemewahan dan keselesaan diri daripada tanggunjawab terhadap negara dan bangsa. Percubaan kedua-dua untuk menegakkan moraliti telah mengakibatkan berbilion manusia terkorban dalam konflik yang dicetuskan oleh golongan fasis dan komunis. Apakah nilai moral yang ada pada tindakan menzalimi manusia oleh golongan yang mendakwa mereka lebih bermoral?
Ketaksuban golongan intelektual dan pemerintah terhadap moraliti bukan sahaja tidak membawa keamanan dan kesejahteraan yang diidamkan, malah mengakibatkan pelbagai bencana manusia. Adalah tidak adil untuk mengatakan manusia yang mengejar keselesaan dan kemewahan merupakan golongan yang tidak bermoral. Bahkan kata Adam Smith, “saya tidak banyak mendengar tentang kebaikan yang dihasilkan oleh orang-orang yang mengajak kepada kebaikan awam.” Malah pada hari ini, kegiatan tidak bermoral oleh peserta dalam pasaran selalunya mendapat hukuman yang sepatutnya, sama ada Michael Milken pada 1980-an, Bernard Madoff pada 2000-an, atau pun Gordon Gekko dalam filem Wall Street. Manakala manusia yang mendakwahkan ‘kebaikan dan kesamarataan’ seperti Stalin dan Mao, tidak menerima hukuman sepanjang hidup mereka.
Namun begitu, golongan liberal hari ini harus menegakkan dimensi moraliti yang ada pada ekonomi pasaran itu tersendiri. Set etika “bourgeois” (istilah Deidra McCloskey) seperti etika kerja dan nilai kekeluargaan, merupakan manifestasi moraliti kapitalisme.
—
Cato Wong adalah bekas pelatih di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)
AkademiMerdeka.org ialah satu projek pendidikan ide-ide libertarianisme dalam Bahasa yang dijalankan oleh Atlas Global Initiative for Free Trade, Peace and Prosperity.
© 2012 AkademiMerdeka.org